Hukum Rampas Suami Orang dan Hukumannya

Sahsiah Rahayu Mat Nah 20-Jun-2019

Islam memang tidak pernah melarang untuk saling mencintai. Ini kerana memang sudah menjadi fitrah manusia yang ingin mencintai dan dicintai.

Akan tetapi, seorang wanita yang berusaha mengganggu atau merebut pasangan yang sudah berkahwin serta memiliki keluarga sendiri sama sahaja dengan mengambil sesuatu yang bukan miliknya.

Perbuatan ini bukan termasuk cara pergaulan dalam Islam kerana ia sudah pasti menyakitkan hati pasangan terbabit mahupun pihak keluarganya.

Hukum merebut suami orang sehingga merosakkan rumah tangganya supaya dapat berkahwin dengan orang tersebut adalah haram hukumnya.

Hal ini berdasarkan dari hadis Abu Hurairah R.A. Beliau mengatakan Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Barang siapa menipu dan merosak (hubungan) seorang hamba dari tuannya, maka ia bukanlah sebagian dari kami. Dan barang siapa merosak (hubungan) seorang wanita dari suaminya, maka ia bukanlah sebagian dari kami”.

Berdasarkan hadis ini ada ulama berpendapat agama Islam melarang untuk berbuat hal yang mampu merosakkan hubungan suami isteri dan ia menjadi dosa yang tidak terampun di mata Allah.

Anda boleh mendengar penjelasan daripada Ustaz Haji Abdul Samod yang dipetik daripada Channel Youtube Reusam TV ini:-

https://www.youtube.com/watch?v=fgbMdDzKx90

Akan tetapi, terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama. Jom semak info berikut :

1) Ulama Kalangan Mazhab Maliki

Ulama dari kalangan Mazhab Maliki menyatakan jika sesungguhnya orang yang sudah menggangu isteri orang lain supaya boleh menikahi wanita tersebut sesudah dicerai, haram hukumnya untuk orang tersebut menikahi wanita itu sampai bila-bila pun.

2) Ulama Mazhab Hanafi dan Syafie

Ulama dari kalangan Mazhab Hanafi dan Syafie berpendapat jika seseorang yang sudah mengganggu atau merosakkan seorang isteri daripada suaminya, maka boleh dinikahi sesudah dicerai namun dia akan tergolong sebagai orang fasiq dan lebih buruk dosanya menurut Allah di hari kiamat.

Ada undang-undang hukum orang ketiga

Selain itu, tahukah anda orang ketiga atau perosak rumah tangga yang mengganggu kebahagiaan pasangan suami isteri sehingga membawa perceraian boleh dikenakan tindakan undang-undang?

Ini kerana ia adalah kesalahan jenayah. Undang-undang ini telah digubal memandangkan kebanyakkan kes perceraian di Malaysia membabitkan orang ketiga.

Memetik laporan Harian Metro (sayanakcerita.blogspot.com) jabatan negeri sudah mempunyai undang-undang ini dan semua pihak boleh mengambil tindakan dengan membuat aduan bersama bukti kukuh.

“Undang-undang ini sudah ada tetapi tidak dikuatkuasakan. Mungkin orang awam tidak tahu mengenai undang-undang itu atau bukti yang lemah menyebabkan pendakwaan tidak dapat diteruskan,” kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

Suami atau isteri yang menjadi mangsa perceraian disebabkan wujud campur tanggan atau gangguan pihak ketiga dinasihatkan supaya membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.

Pihak yang menjadi mangsa perlu menyimpan dan menyerahkan apa saja bukti seperti SMS, sebarang kiriman pesanan sama ada melalui telefon, laman sosial, bukti bergambar kepada pihak penguatkuasa agama untuk siasatan.

Mengikut Seksyen 36, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, ‘orang ketiga’ tersebut boleh dipenjara tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sumber : www.dalamislam.com / www.hmetro.com.my
Kredit foto : Nicholas Gercken, Bill Oxford, Unsplash