Hukum Serta Tanggungjawab Penghutang & Pemiutang Dari Perspektif Islam

Apabila bercakap mengenai hutang, pasti ramai yang mempunyai pengalaman sama ada memberi pinjaman kepada orang lain mahupun meminjam. Seringkali kita mendengar cerita tentang kesan gagal melunaskan hutang seperti pergaduhan, serta terputusnya hubungan silaturahim sesama saudara mahupun sahabat handai.

Hutang piutang dapat memberikan banyak manfaat kepada kedua belah pihak. Hutang piutang merupakan perbuatan saling tolong-menolong antara umat manusia yang sangat dianjurkan oleh Allah S.W.T. Hutang piutang dapat mengurangkan kesulitan orang lain yang sedang dirundung masalah serta dapat memperkuat tali persaudaraan kedua belah pihak.
Pada dasarnya isu hutang berkait rapat dengan sikap amanah dan kebijaksanaan kita menguruskan perbelanjaan. Sifat amanah dilihat sebagai satu kontrak yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang dan ketinggian iman seseorang membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Hukum memberi hutang adalah sunat dan sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah S.W.T. Ia merupakan satu amalan yang mulia jika tujuannya untuk menolong meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup, bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang.

Manakala hukum berhutang pula harus. Walau bagaimanapun dalam lain-lain perkara, hukum berhutang berubah mengikut keadaan. Jika seseorang itu benar-benar kesuntukan dan memerlukan wang untuk membiayai keluarganya, maka wajib ia berhutang. Manakala hukum berhutang bagi pemiutang adalah berubah mengikut keadaan dalam tiga bentuk iaitu :

Pertama : Haram. Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya.

Kedua : Makruh. Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau menunjuk-nunjuk, ataupun penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang tersebut.

Ketiga : Wajib. Jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.

 

TANGGUNGJAWAB PEMIUTANG DARI PERSPEKTIF ISLAM

PERTAMA: Dianjurkan memberi hutang bagi orang yang mampu

Memberi hutang kepada orang yang berada dalam kesempitan wang termasuk dalam keumuman hadis Rasulullah S.A.W:
“Sesiapa yang memudahkan orang yang berada dalam kesukaran, Allah akan memudahkan ke atasnya urusan dunia dan akhirat.” (Riwayat Ibnu Majah)

KEDUA: Memberi tempoh bagi mereka yang berada dalam kesulitan.

Allah S.W.T berfirman:
“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya” (Al-Baqarah :280)

Rasulullah S.A.W bersabda:
“Barangsiapa memberi tempoh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunaskan hutang atau membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah.” (Riwayat Muslim)

Dari salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W, Abul Yasar, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Barangsiapa yang ingin mendapatkan naungan Allah ‘azza wa jalla, hendaklah dia memberi tempoh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunaskan hutang atau dia membebaskan hutangnya tadi.” (Riwayat Ahmad)

KETIGA: Mengutip hutang dengan akhlak yang mulia

Rasulullah S.A.W mengingatkan:
Sesiapa yang menuntut satu haknya (seperti hutang) maka tuntutlah dengan cara yang baik tanpa mengira (orang yang berhutang itu) membayar balik atau tidak membayarnya” (Riwayat Ibnu Majah)

Dari Ibnu ‘Umar dan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah S.A.W bersabda:
Siapa sahaja yang ingin meminta haknya, hendaklah dia meminta dengan cara yang baik sama ada pada orang yang mahu menunaikan ataupun yang enggan menunaikannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Dari Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda untuk orang yang memiliki hak pada orang lain:
Ambillah hak kamu dengan cara yang baik pada orang yang mahu menunaikannya ataupun yang enggan menunaikannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

KEEMPAT: Berlapang dada dalam mengutip hutang

Rasulullah S.A.W juga bersabda:

Allah merahmati seseorang yang bersikap lapang dada apabila menjual, membeli dan mengutip hutang.” (Riwayat Al-Bukhari)

KELIMA: Menjadikan hutang sebagai sedekah

Allah S.W.T berfirman:
Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalaulah kamu mengetahui.” (Al-Baqarah :280)

 

TANGGUNGJAWAB PENGHUTANG DARI PERSPEKTIF ISLAM

PERTAMA: Hutang adalah amanah yang wajib dijelaskan.

Allah S.W.T memerintahkan agar kita menunaikan amanah. Hutang merupakan amanah yang terpikul di atas bahu penghutang. Allah S.W.T berfirman:
“Ertinya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (An-Nisa : 58)
Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata, telah bersabda Rasulullah S.A.W :
“Sekalipun aku memiliki emas sebesar gunung Uhud, aku tidak akan senang jika tersisa lebih dari tiga hari, kecuali yang aku sisihkan untuk pembayaran hutang.” (Riwayat Al-Bukhari)

KEDUA: Berhutang dengan niat yang baik.

Rasulullah S.A.W juga bersabda:
Dari Abu Hurairah r.a ia berkata bahawa Nabi S.A.W telah bersabda:

“Barangsiapa yang mengambil harta orang (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya (mengembalikannya), maka Allah S.W.T akan tunaikan untuknya. Dan barangsiapa mengambilnya untuk menghabiskannya, maka Allah S.W.T akan membinasakannya” (Riwayat Al-Bukhari)

KETIGA: Membayar dengan yang lebih baik Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata.

Ertinya : Nabi mempunyai hutang kepada seseorang, iaitu seekor unta dengan usia
tertentu. Orang itu pun datang menagihnya. (Maka) beliaupun berkata, “Berikan kepadanya” kemudian mereka mencari yang seusia dengan untanya, akan tetapi mereka tidak menemukan kecuali yang lebih berumur dari untanya. Nabi (pun) berkata : “Berikan kepadanya”, Dia pun menjawab, “Engkau telah menunaikannya dengan lebih. Semoga Allah S.W.T membalas dengan setimpal”. Maka Nabi S.A.W bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik dalam pengembalian.” (Riwayat Al-Bukhari)

Dari Jabir bin Abdullah r.a, ia berkata:
Aku mendatangi Nabi S.A.W di masjid, sedangkan beliau mempunyai hutang kepadaku, lalu beliau membayarnya dan menambahkannya.” (Riwayat Al-Bukhari).

Memberi pertolongan kepada orang yang sedang berada di dalam kesulitahan adalah amalan mulia di sisi Allah S.W.T. Namun janganlah kita bertindak kejam kepada si pemiutang sehingga menyusahkan dan menambah lagi kesulitan yang dihadapi. Bagi si pemiutang pula, janganlah sekadar menabur janji untuk melangsaikan hutang anda, tetapi akhirnya mengambil kesempatan di atas kebaikan si pemberi hutang. Sesungguhnya Allah S.W.T akan menghancurkan orang yang tidak mengembalikan hutang.

Bagi orang-orang yang berhutang tetapi enggan membayarnya sedangkan mereka mampu untuk membayarnya adalah termasuk mereka yang memakan harta milik orang lain. Sesungguhnya mereka itu telah melakukan kebatilan dalam agama dan melakukan dosa yang nyata. Akibat daripada perbuatan mereka itu Allah S.W.T akan menjanjikan kehancuran ke atasnya. Ini jelas berdasarkan daripada hadith Rasulullah S.A.W

Barangsiapa yang mengambil harta manusia, dengan niat ingin menghancurkannya, maka Allah juga akan menghancurkan dirinya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Di antara maksud hadis ini ialah barangsiapa yang mengambil harta manusia melalui jalan hutang, lalu dia berniat untuk tidak mengembalikan hutang tersebut, maka Allah pun akan menghancurkannya.

Sumber : www.muamalat.com.my

Foto : Shutterstock

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Allah S.W.T berfirman, “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalaulah kamu mengetahui.” (Al-Baqarah :280)