Hukuman pemandu mabuk harus diperketatkan

Akibat memandu bawah pengaruh alkohol © Tktktk | Dreamstime.com

Semakin hari semakin banyak kemalangan maut yang melibatkan orang awam dan pemandu mabuk. Perkara ini seharusnya diberikan perhatian yang lebih serius dan sudah tiba masanya untuk kerajaan mewujudkan akta yang lebih berat terhadap pesalah trafik yang memandu dalam keadaan mabuk.

Menurut Pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim: “Peningkatan kes kemalangan maut disebabkan sikap pemandu mabuk sejak kebelakangan ini memerlukan kerajaan melakukan tindakan drastik dengan menggubal undang-undang yang lebih tegas untuk menghukum pesalah tersebut.”

Katanya lagi; “Undang-undang sedia ada bagi menghukum pesalah terbabit dilihat terlalu ringan menyebabkan ramai pemandu memandang ringan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.”

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu berlangsung, juga ada beberapa insiden maut yang berpunca daripada pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Antara insiden yang paling mendapat liputan ialah insiden pada 3 Mei 2020.

Seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dekat Kajang, maut selepas dilanggar sebuah kenderaan  pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk.

Peruntukan undang-undang perlu dikaji semula termasuk had ditetapkan kandungan alkohol dalam darah pemandu. Ketika ini undang-undang semasa membenarkan sehingga 80mg alkohol dalam 100ml darah manakala had antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 50mg dalam 100ml darah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 90: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya meminum khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan) itu agar kamu berjaya.”

Agama Islam mengharamkan umatnya untuk mengambil arak kerana ianya adalah satu minuman yang mendatangkan kemudaratan. Namun dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum ,agak sukar untuk terus mengharamkan penjualan arak secara seratus peratus di negara ini.

Oleh itu, cara yang terbaik untuk terus mengelakkan kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu mabuk terjadi, tindakan undang-undang yang lebih keras dan serius perlu diambil dengan segera.

Semoga tiada lagi kes kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol selepas ini.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!