Hummus pengganti mayonis – lebih sedap, lebih sihat

Makanan Md Wa'iz 18-Okt-2020
dreamstime_s_62775766
Hummus © Vanillaechoes | Dreamstime.com

Pernahkah anda mendengar satu hidangan dari Timur Tengah yang dipanggil ‘Hummus’? Jika belum pernah, mungkin ini saatnya untuk anda mencuba Hummus dan belajar bagaimana untuk membuatnya.

Ini kerana Hummus bukan hanya sedap, tetapi ia juga adalah sejenis hidangan yang mudah untuk disediakan dan amat berkhasiat. Berikut adalah penerangan ringkas berkenaan hummus.

Info ringkas sejarah Hummus

Hummus bukan hanya terkenal di negara-negara Timur Tengah, tetapi juga di kawasan Afrika Utara dan Mediterranean. Asal usul penciptaan hidangan ingin masih tidak dipastikan dengan tepat, namun ada yang berpendapat bahawa ia mungkin berasal dari negara Mesir Purba.

Ini kerana, terdapat beberapa rekod sejarah yang menyebut berkenaan Hummus seawal abad ke-13 Masihi.

Sebab mengapa Hummus adalah makanan sihat

Walaupun Hummus adalah hidangan yang mudah untuk disediakan, ia sebenarnya kaya dengan pelbagai kandungan vitamin dan mineral. 100 gram Hummus akan memberikan anda 7.9 gram protein, 14.3 karbohidrat, dan 6 gram serat.

Hummus juga memberikan ada beberapa mineral penting untuk keperluan fungsi tubuh seperti folat, magnesium, zat besi dan juga vitamin B6. Bagi mereka yang ingin mendapatkan sumber protein berasaskan tumbuhan, hummus adalah antara hidangan yang terbaik.

Tahukah anda, dengan memakan Hummus, ia boleh membantu meningkatkan kesihatan usus dan proses pencernaan tubuh. Hummus tinggi dengan kandungan serat yang membantu mengelakkan masalah sembelit.

Selain itu, serat pemakanan yang terdapat dalam Hummus juga bertindak sebagai sumber makanan bagi bakteria baik yang ada dalam usus anda.

Kajian ada menyatakan, kandungan kacang kuda yang menjadi bahan utama Hummus boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dan menghalang pertumbuhan bakteria jahat.

Cara mudah membuat hummus

Bagi mereka yang masih mencari resepi Hummus yang paling mudah dan ringkas, anda boleh lihat kepada resepi yang kami sediakan di bawah ini. Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

  • Tiga cawan kacang kuda (direndam dan direbus sehingga lembut)
  • Dua ulas bawang putih (dicincang)
  • Jus lemon (sebiji)
  • Satu sudu teh garam
  • Minyak zaitun

Cara menyediakannya:

  1. Rebus kacang kuda terlebih dahulu. Jika mahukan hummus yang lebih berkrim, sebaiknya kulit kacang kuda tersebut dikupas
  2. Masukkan kacang kuda ke dalam pemproses makanan atau pengisar. Kisarkannya sehingga menjadi pes
  3. Kemudian, masukkan bawang putih, jus lemon dan garam. Kisarkannya lagi sehingga ia benar-benar lumat dan mempunyai tekstur yang lembut
  4. Untuk menjadikan teksturnya lebih lembut, masukkan beberapa ketulan ais semasa mengisarnya
  5. Jika anda mempunyai tahini (pes bijan), anda boleh memasukkannya ke dalam Hummus semasa sedang dikisar. Tahini akan memberikan rasa yang lebih berlemak dan tradisional
  6. Masukkan ke dalam mangkuk dan tuangkan minyak zaitun ke atas Hummus tersebut
  7. Hidangkan bersama sayur-sayuran atau roti

Pengganti snek yang lebih sihat

Hummus ini diibaratkan sebagai pencicah. Ia boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah bersama roti atau potongan sayur-sayuran. Anda boleh mula menggantikan sos pencicah yang kurang sihat seperti mayonis kepada hummus yang ternyata lebih sihat.