Husnudzon dan hikmah selalu berbaik sangka

Psikologi Hannan
Pendapat oleh Hannan
Husnudzon dan hikmah selalu berbaik sangka
Husnudzon dan hikmah selalu berbaik sangka © Rafael Vilches | Dreamstime.com

Husnudzon atau lebih difahami dengan maksud ‘berbaik sangka’ merupakan suatu amalan yang sudah sebati dengan diri seorang Muslim. Saat diri kita mula memikirkan sesuatu yang negatif, pasti cepat-cepat kita akan beristighfar dan mengingatkan diri untuk bersikap husnudzon.

Walau bagaimanapun, apakah maksud sebenar husnudzon dan sejauh manakah kita digalakkan untuk kekal berbaik sangka?

Hikmah selalu berbaik sangka

Husnudzon yang dipetik daripada ungkapan Husn al-Dhan Billah (berpandangan positif kepada Allah SWT) menjadi kesinambungan dari rukun asas yang membentuk keimanan seorang muslim.

Ketika kita mengalami musibah, kita haruslah sentiasa bermuhasabah diri dan yakin bahawa ada hikmahnya di sebalik musibah tersebut. Itulah amalan husnudzon yang amat dituntut di dalam Islam.

Malah, amalan berbaik sangka merupakan sesuatu yang lebih baik berbanding bertindak menuduh seseorang melakukan sesuatu yang salah tanpa sebarang bukti.

Menurut Saidina Umar bin Al-Khattab r.a:

“Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik.”

Pecahan jenis husnudzon

Husnudzon terbahagi kepada tiga iaitu husnudzon kepada Allah SWT, husnudzon terhadap diri sendiri dan husnudzon terhadap orang lain.

Husnudzon terhadap Allah SWT bermaksud berbaik sangka terhadap Maha Pencipta. Sebagai hamba, kita harus yakin dengan semua ketetapanNya.

Malah, dalam setiap ujian yang diberikan, pasti ada hikmah disebaliknya. Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan sesekali menguji hambanya lebih daripada apa yang dia mampu.

Husnudzon terhadap diri sendiri pula bermaksud berprasangka baik terhadap diri sendiri.

Sebagai contoh, mereka yang rasa husnudzon terhadap diri sendiri akan berusaha sebaik mungkin, kekal positif dan tidak mudah menyalahkan takdir ketika berlakunya sesuatu kecelakaan.

Perkara yang ketiga, husnudzon terhadap orang lain bermaksud tidak mudah berprasangka buruk terhadap orang lain, lebih-lebih lagi jika mereka tidak melakukan sebarang kejahatan kepada kita.

Sikap ini dapat mengelakkan kita daripada bersifat saling dengki mendengki antara satu sama lain.

Tidak perlu bersangka baik setiap masa!

Sebenarnya, sebagai manusia, kita bukanlah tidak boleh bersangka buruk langsung. Malah, ada masa-masanya kita diharuskan bersangka buruk lebih-lebih lagi jika ia menyentuh tentang keselamatan diri.

Walau bagaimanapun, bersangka buruk ini bukan bermaksud kita menuduh. Tetapi, kita mengambil langkah berjaga-jaga supaya diri tidak ditimpa musibah. Sebagai contoh, jika kita ternampak orang yang mencurigakan di halaman rumah, lebih baik kita bersikap buruk sangka dan lebih berhati-hati sebelum nasi menjadi bubur.

Bagaimana pula dengan berprasangka baik terhadap mereka yang melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama? Contohnya, kita berprasangka baik terhadap mereka yang gemar mencuri dengan alasan keadaan hidup mereka yang mendesak dan miskin.

Dalam konteks ini, Islam melarang umatnya daripada menyokong sebarang perlakuan yang salah dan bercanggah dengan agama.

Bersyukur dan sifat husnudzon

Kemungkaran perlu dicegah selagi kita mampu. Jika boleh, hulurlah tangan dan berikan bantuan kepada mereka yang memerlukan jika ia dapat mencegah kemungkaran sebegini daripada berlaku.

Selagi mampu, bersangka baiklah terhadap semua orang kerana ia merupakan amalan yang terpuji dan menguntungkan semua pihak. Malah, amalan ini juga telah lama diterapkan di dalam diri kita sebagai seorang Muslim.

Jika kita dikurniakan rezeki yang melimpah, jangan lupa untuk bersyukur di atas pemberian-Nya. Begitu jugalah sebaliknya ketika kita ditimpa musibah. Kita haruslah bersikap husnudzon dan pastinya dengan ikhlas hati dan reda akan semua ketetapan Allah SWT.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.