Hutan Walnut semula jadi terbesar di dunia ada di Kyrgyzstan

Asia Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Hutan Walnut semula jadi terbesar di dunia ada di Kyrgyzstan
Hutan Walnut semula jadi terbesar di dunia ada di Kyrgyzstan © Greir11 | Dreamstime.com

Pada zaman pemerintahan pihak Soviet, Kyrgyzstan dikenali dengan nama Kirgiziya. Ia menjadi sebahagian daripada negara Rusia dan pihak Soviet sejak tahun 1876 dan mencapai kemerdekaan pada tahun 1991.

Tahukah anda, bahawa Negara Kyrgyzstan mempunyai hutan walnut terbesar di dunia? Ini sememangnya menarik. Ikuti maklumat selanjutnya di bawah ini.

Kepelbagaian etnik yang menetap di Kyrgyzstan

Selain daripada etnik Kyrgyz, terdapat juga beberapa etnik minoriti lain yang mendiami bumi Kyrgyzstan. Ini termasuklah orang Rusia, Uzbek, Ukraine, Jerman, Tatar, Kazakh, Dungan, Uighur dan Tajik.

Tiga per empat daripada populasi keseluruhan negara ini berbangsa Kyrgyz. Manakala bakinya adalah mereka yang beretnik Uzbek dan lain-lain etnik.

Hampir keseluruhannya bertutur dengan menggunakan bahasa Kyrgyz selain bahasa Uzbek. Namun, bahasa rasmi bagi negara ini ialah bahasa Kyrgyz dan bahasa Rusia.

Bendera yang melambangkan 40 puak

Bendera Kyrgyzstan berwarna merah dengan simbol matahari di tengahnya. Menarik mengenai bendera ini, terdapat 40 sinar matahari pada simbol matahari tersebut yang melambangkan 40 puak di negara tersebut.

Dikatakan 40 puak ini adalah penyatuan puak-puak yang bersama melawan serangan Mongol. Selain itu, garisan melintang pada bulatan matahari itu pula melambangkan khemah tradisional masyarakat Kyrgyzstan yang disebut sebagai Yurt.

Punyai hutan walnut semula jadi terbesar di dunia

Terdapat sebuah hutan walnut semula jadi di kawasan bernama Arslanbob, Kyrgyzstan. Kajian saintifik menyatakan bahawa hutan walnut ini telah berusia hampir 1000 tahun lamanya. Sekitar 1,500 tan walnut dituai setiap tahun daripada hutan walnut ini.

Selain daripada walnut, hutan ini juga mengandungi beberapa jenis buah-buahan lain seperti epal, pir dan plum.

Kyrgyzstan jadi tuan rumah Sukan Nomad Dunia

Sukan Nomad Dunia adalah pertandingan sukan dwi-tahunan yang mempertandingkan sukan-sukan etnik di Asia Tengah. Pertandingan sukan ini adalah bertaraf antarabangsa.

Antara jenis sukan yang dipertandingkan di pertandingan ini ialah gusti, berburu menggunakan burung helang, memanah, lumba kuda dan gusti berkuda. Kyrgyzstan telah menjadi tuan rumah bagi tiga perlawanan pertama iaitu pada tahun 2014, 2016 dan 2018.

Pada tahun 2020, bandar Bursa di Turki dijadualkan menjadi tuan rumah, tetapi telah ditunda ke tahun 2021 disebabkan oleh wabak COVID-19.

Negara yang kaya dengan ciri tradisi

Kyrgyzstan boleh dikatakan sebagai sebuah negara yang masih kaya dengan kebudayaan tradisional mereka. Selain itu, mereka juga adalah antara negara yang mempunyai kepelbagaian etnik, menjadikan mereka juga kaya dengan kebudayaan bangsa lain.

Kebanyakan daripada penduduk negara mereka masih mengamalkan kehidupan secara nomad. Malah, lebih daripada separuh penduduknya masih menetap di luar kawasan bandar dan pedalaman.

Kehidupan nomad inilah yang menjadikan Kyrgyzstan unik dengan cirinya yang tersendiri berbanding negara-negara lain.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.