‘I Want You To love Me’ Serlah Sisi Kematangan Alif Satar

Alif Satar memulakan kerjaya nyanyian pada usia 16 tahun, selepas meraih tempat ketiga dalam program realiti One In A Million. Lagu seperti ‘Jangan Nakal’ dan ‘Lelaki Seperti Aku’ menyerlahkan karakternya sebagai penyanyi muda yang memiliki karisma tersendiri.

Peralihan usia bersama kematangan dalam industri muzik turut memberi desakan kepada Alif untuk meneroka sisi berbeza dalam karier nyanyiannya. Dimensi baharu itu dapat dinilai peminat menerusi lagu seperti ‘Akhiri Penantianku’ dan ‘Selamanya Cinta,’ duet bersama Shila Amzah yang memperlihatkan perjalanan Alif menuju kedewasaan.

Keterujaan untuk terus meneroka industri muzik terbukti apabila dia bekerjasama dengan teman seangkatannya ketika menyertai One In A Million, Faizal Tahir. Gabungan idea mereka melahirkan ‘Sesungguhnya Aku’ pada 2017, menterjemahkan sisi matang Alif yang sebelum ini lebih dikenali sebagai penyanyi lagu catchy.

Enggan selamanya bergantung kepada satu kelompok pendengar, lagu itu membawa Alif mendekati pendengar dewasa, tanpa sesekali mengorbankan identiti nyanyiannya.

Kolaborasi mereka dilanjutkan menerusi lagu duet bersama Siti Nordiana, Sebenarnya pada 2018 yang turut meninggalkan impak tersendiri. Selepas mencetuskan fenomena menerusi rakaman semula lagu popular Raihan, ‘Sesungguhnya 2019,’ Alif kini kembali bersama single baharu, ‘I Want You To Love Me.

Masih menerima sentuhan Faizal Tahir bersama Ezra Kong, Romeo dan Mike Chan, Alif menyifatkan ‘I Want You To Love Me‘ memberinya ruang untuk meneroka sisi kreatif dalam penulisan lagu, lirik serta proses rakaman.

Bersama Faizal dan pasukan Faithful Music, Alif menemui bunyi yang diimpikan. ‘I Want You To Love Me’ mempunyai ciri-ciri bunyi yang Alif inginkan iaitu moden, pada masa sama sesuai dinikmati semua kelompok pendengar.

“Secara peribadi, Alif berpuas hati dengan penghasilan lagu ini. Susunan muziknya juga serasi dengan cara penyampaian Alif dan paling penting, mereka membuatkan Alif selesa sepanjang proses rakaman berlangsung,” katanya.

Menyifatkan dirinya bertuah kerana diberi peluang berkongsi idea dengan pasukan yang hebat, Alif berkata, dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Faizal dan pasukannya kerana mereka sudah mengenali sisi peribadinya serta cara persembahannya di pentas.

Keakraban itu, akui Alif, membuka ruang untuk dia meneroka sisi muzik yang lebih berani, tetapi tidak mengabaikan identiti nyanyian yang sudah sebati dengan peminat.

“Kami mula bekerjasama menerusi lagu ‘Sesungguhnya Aku’ yang menjadi runut bunyi drama Red Velvet. Menerusi lagu itu, khalayak mula melihat dan menilai kematangan Alif dalam muzik.

“Alif perlu mencari sisi nyanyian yang selari dengan usia, pada masa sama tidak mengabaikan apa yang dimahukan pendengar. Ciri-ciri itu ada pada ‘I Want You To Love Me‘ yang mempunyai sentuhan urban, tetapi masih memenuhi cita rasa pendengar massa,” katanya.

‘I Want You To Love Me‘ juga  membawa peminat mengimbau era kegemilangan nuansa muzik 1990-an dari sudut susunan muzik. Membesar bersama muzik yang dipopularkan Justin Timberlake dan Bruno Mars, elemen itu cuba diterapkannya dalam ‘I Want You To Love Me.

“Dari sudut kepuasan, mereka memberikan sepenuh kebebasan kepada Alif untuk mencorakkan lagu ini. Secara jujur, lagu ini menyerlahkan sisi berbeza Alif sebagai penyanyi, malah ‘I Want You To Love Me‘ mampu memberikan kepuasan yang dicari pendengar yang sudah sebati dengan nyanyian Alif,” katanya.

Cukup teruja sepanjang proses rakaman berlangsung, Alif berkata, ‘I Want You To Love Me‘ masih mengekalkan identiti muzik catchy, namun lebih matang dan terkini.

Alif berkata, pengalaman beraksi bersama band sendiri membuatkan dia lebih menitikberatkan penggunaan instrumen dan bunyi yang memperlihatkan dirinya sebagai pemuzik yang meniti dewasa.

“Selepas 14 tahun Alif bertapak dalam industri muzik, sudah tiba masa untuk Alif memberikan sesuatu yang mencerminkan karakter dan kedewasaan Alif. Paling mengujakan, lagu ini turut dilancarkan serentak bersama video muzik.

“Video muzik lagu ini dirakamkan dalam format hitam putih. Berbanding video muzik terdahulu yang lebih menekankan kepada elemen drama, kali ini ia lebih menonjol dari sudut muzik.

“Secara peribadi, Alif melihat video muzik ‘I Want You To Love Me’  membawa peminat untuk menikmati produksi yang memiliki kelas tersendiri, sekaligus memberikan kepuasan kepada pencinta muzik,” katanya.

Single I Want You To Love Me boleh dilayari di semua platform  seperti Spotify, JOOX , Itunes, KKbox & Deezer.

 

Sumber : Sony Music Malaysia