Ibadah haji dan kelebihan mengerjakannya di usia muda

Suasana di Masjidil Haram, Mekah © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Setiap orang pasti ada impian masing-masing. Saya sendiri tidak terkecuali. Antaranya ialah untuk menunaikan haji di Mekah pada usia muda. Alhamdulillah impian saya telah tercapai, walaupun bukan pada usia yang betul-betul muda. Dengan izin Allah SWT, saya dapat menunaikan haji di Mekah pada usia 32 tahun bersama-sama isteri tersayang.

Pada mulanya memang berasa agak takut dan cuak juga untuk melaksanakan ibadat haji. Maklumlah sebelum ini banyak mendengar cerita-cerita yang agak menakutkan tentang kejadian-kejadian aneh yang berlaku pada jemaah haji yang menunaikan ibadah haji. Namun memandangkan sebelum ini, sudah beberapa kali rayuan menunaikan ibadah haji ditolak, jadi tak mungkin untuk menolak rezeki tawaran menunaikan haji pada tahun tersebut.

Sewaktu pemergian, kami terpaksa memohon bantuan ibu dan ayah untuk menjaga anak-anak kami yang masih kecil pada ketika itu. Yang sulung berusia lima tahun manakala adik-adiknya berusia tiga tahun. Memang bukan suatu perkara yang mudah untuk meninggalkan mereka.

Saya dan isteri pergi dengan pakej muasasah yang dikendalikan oleh pihak Tabung Haji. Kami berjaya menyiapkan diri sebaik mungkin untuk menunaikan haji. Alhamdulillah mungkin asbab kursus haji yang telah kami hadiri setahun sebelum itu dan juga kursus haji perdana di Putrajaya.

Sebenarnya, memang antara niat dan impian saya untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda. Ini supaya dapat menunaikan haji dengan lancar sewaktu keadaan fizikal berada pada tahap terbaik. Keperluan berjalan kaki sewaktu ibadah melontar di Mina yang berkilometer setiap hari bukanlah suatu perkara mudah jika keadaan fizikal tidak mengizinkan. Tidak mengambil kira lagi jika jarak hotel di Mekah yang jauh daripada Masjidil Haram.

Salah satu lagi sebab ialah untuk membantu seberapa banyak jemaah haji di Mekah yang memerlukan bantuan. Memang ada pihak Tabung Haji, namun kita tidak bolehlah mengambil sikap pentingkan diri dan membiarkan semuanya diuruskan pihak Tabung Haji.

Mana-mana yang boleh dibantu, perlulah kita bantu. Sewaktu kami di sana, antara masalah biasa dihadapi jemaah haji negara kita terutamanya yang berusia, ialah sesat dan tidak tahu pulang ke penempatan mereka. Jadi di setiap kesempatan yang ada, kami akan membantu mereka.

Di dalam kumpulan kami ada seorang nenek berusia 93 tahun yang kami panggil Nenek Embun. Walaupun berusia, Nenek Embun tetap bersemangat dan cekal menjalankan ibadah haji. Malah beliau menjadi sumber inspirasi bagi jemaah haji yang jauh lebih muda seperti kami.

Tanamkan niat untuk menunaikan ibadah haji dari sekarang. Jika berkemampuan dan berkesempatan, tunaikanlah ibadah haji di usia yang muda. Insya-Allah, banyak kelebihan yang akan anda peroleh. Saya doakan anda semua akan mendapat jemputan menunaikan haji di rumah Allah SWT dalam masa yang terdekat, sebaik sahaja wabak koronavirus baru COVID-19 ini berakhir.