Ibadah Qiamullail disukai Allah SWT

Agama Hanita Hassan 20-Nov-2020
dreamstime_xs_178993046
Ibadah Qiamullail disukai Allah SWT © Leo Lintang | Dreamstime.com

Ibadah yang paling disukai Allah SWT adalah Qiamullail. Ia bermaksud ‘Berjaga pd waktu malam utk beribadat, seperti bersembahyang sunat, berzikir, dan membaca al-Quran’ (Kamus Pelajar Edisi Kedua).

Qiamullail atau ‘bangun malam’ adalah amalan sunat yang boleh dibuat secara bersendiri atau bersama keluarga di rumah atau secara berjemaah di masjid atau surau dengan tujuan beribadah kepada Allah.

Amalan yang tinggi ganjarannya

Sebaik-baik waktu afdal ialah di sepertiga akhir malam iaitu antara jam tiga pagi hingga waktu subuh. Sebaik sahaja terjaga dari tidur, hendaklah bangun dan mengambil wuduk dan mengerjakan solat sunat Tahajjud dua rakaat atau lebih dan mengerjakan solat sunat lain seperti solat sunat Tasbih, solat sunat Taubat, solat sunat Hajat dan solat sunat Witir.

Solat sunat Tahajjud hendaklah dikerjakan sebaik sahaja terjaga walaupun hanya tidur seketika.  Ia dikerjakan selepas waktu Isyak sehingga terbit fajar.  Ia boleh dilakukan sebanyak dua rakaat atau lebih.

Niatnya yang bermaksud:  “Sahaja aku solat sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah taala”.  Pada rakaat pertama hendaklah dibaca surah al-Fatihah dan surah al-Kafirun.  Diikuti rakaat kedua dibaca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjalah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

(Surah al-Isra, ayat 79)

Ibadah Qiamullail disukai Allah SWT

Amalan Qiamullail sudah bermula lama iaitu pada zaman para rasul dan nabi-nabi, orang soleh dan alim ulama sejak dahulu.  Rasulullah SAW menyeru umatnya bangun beribadat di tengah malam (Qiamullail) dengan bersungguh-sungguh sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadis.

Daripada Aisyah r.a yang berbunyi:

“Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua kakinya, maka aku (Aisyah)  berkata kepada Baginda, mengapa Rasulullah SAW lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah SWT sama ada yang terdahulu ataupun yang terkemudian?  Baginda menjawab:  Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur.”

(Hadis riwayat Muttafaq Alaih)

Selain solat sunat Tahajjud, kita boleh meneruskan dengan solat sunat sunat Hajat, solat sunat Taubat dan solat sunat Tasbih.  Kita juga boleh melakukan solat sunat Witir dan solat sunat Awwabin.

Banyak kelebihan apabila kita berqiamullail. Dalam al-Quran dan hadis nabi menerangkan tentang kelebihan bagi sesiapa sahaja yang mengerjakan ibadah ini.  Kita akan dibangkitkan di akhirat di tempat terpuji, ibadah yang memberi kesan mendalam kepada jiwa, waktu mustajab doa dan ibadah yang disukai Allah SWT.

Memberi kesan mendalam pada jiwa

Daripada Jabir r.a bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Pada malam hari ada satu saat (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah SWT meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah kabulkan doanya.  Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam.”

(Hadis riwayat Muslim)

Bangun bersembahyang Tasbih dan membaca al-Quran pada sebahagian daripada malam boleh memberi kesan mendalam pada jiwa orang yang melakukannya. Sepertimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati dan lebih betul bacaannya).”

(Surah al-Muzammil, ayat 6)

Semoga kita diberikan laluan dan kelebihan agar dipandang tinggi oleh Allah SWT sepanjang masa.