Ibnu Sina – bapa sejarah sains

Ukiran Ibnu Sina di luar bangunan Fakulti Perubatan Paris © Zatletic | Dreamstime.com

Ibnu Sina (980 – 1037 Masihi) merupakan tokoh Islam terulung dalam pelbagai bidang khususnya sains perubatan.  Ibnu Sina atau nama sebenarnya Abu Ali al-Hussian Ibnu Abdullah lebih dikenali sebagai Avicenna oleh Barat. Beliau telah menguasai ilmu perubatan pada usianya 16 tahun dan menghafaz al-quran sejak usia 10 tahun.

Sejumlah 450 karya beliau dalam pelbagai bidang telah ditulisnya seawal usia remaja.  Daripada jumlah tersebut, 40 buah adalah dalam bidang perubatan. Karya Ibnu Sina yang terkenal ialah al-Qanun fit-Tibb atau formula perubatan.  Ia menjadi rujukan dan kajian tesis di universiti Barat sehingga abad ke-17 Masehi seperti di Itali dan Perancis.

Hasil penyelidikan dan penulisan beliau dalam bidang perubatan mendahului zaman.  Banyak formula yang diperkenalkan tidak dapat dicapai dan diatasi oleh pakar perubatan terkini. Ibnu Sina menjelaskan bahawa perubatan merupakan pengetahuan berkaitan dengan kesihatan keadaan tubuh badan dan kemerosotan dalam kesihatan. la bertujuan bagi memelihara kesihatan dan juga usaha ke arah pemuliharaannya.

Kebijaksanaan Ibnu Sina digambarkan dalam al-Qanun melalui pengkelasan dan penyusunan ilmu perubatan pada zaman tersebut dan dipersembah dalam bentuk yang logik.  Beliau menekankan kepentingan penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit bertepatan dengan ajaran Islam berbanding merawatnya.

Falsafah dan pemikiran yang dikemukakan Ibnu Sina boleh dikaitkan dengan perubatan Islam, dan ia serasi dengan Perubatan Nabi-nabi atau lebih dikenali Tibb al-Nabawi, walaupun kedua-duanya tidak semestinya sama dalam semua perkara termasuk dari segi prinsip serta pendekatan. Beliau menekankan kesederhanaan (wasatiyyah) dan keseimbangan (mizaan) sebagai jalan terbaik dalam mengambil langkah penjagaan kesihatan.

Menyingkap sejarah awal perjalanan kerjaya beliau, pernah bertugas di perpustakaan semasa Kerajaan Samaiah iaitu di istana Nuh bin Nasar di Khurasan.  Bertugas sebagai tabib di Hamazan, dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Syamsul al-Daulah, Gabenor Hamazan, pakar perubatan di Wilayah Rai dan penasihat agung (menteri) kepada Amir  Ala’ad-Daulah di Asfahan.

Pencinta ilmu seawal usia lima tahun. Tekun mempelajari ilmu al-quran, tafsir dan sains. Membaca buku metafizik karangan Aristotle sebanyak 40 kali. Kuat ingatannya, suka berinovasi dan menghasilkan karya dalam pelbagai bidang ilmu.  Bidang yang dipelajari dan dikuasai beliau ialah al-Quran, fekah, tafsir, mantik atau logik.  Beliau turut mahir dalam bidang sains politik, usuludin atau tasawuf, geometri, fizik, falsafah, perubatan, astronomi, matematik, metafizik, sains dan teologi.

Ibnu Sina telah menemui pelbagai penyakit baru dan puncanya.  Antaranya pengaruh kuman dalam penyakit, jangkitan virus seperti TB dan penyakit berjangkit seperti cacar, rubella, alahan dan penyakit jiwa.  Beliau juga menghasilkan ubat dan preskripsi mujarab dalam pelbagai penyakit kronik dan ubat bius.  Beliau juga berjaya mencipta benang khusus untuk menjahid luka pembedahan dan mencipta picagari.

Ibu Sina turut memperkenalkan kaedah pemerhatian (observation) dan analisis dalam penyelidikan dan penulisannya. Hasil penyelidikan dan penulisan beliau telah mempengaruhi perkembangan ilmu perubatan moden dengan penciptaan alat seperti x-ray dan ultrasound dalam mengesan organ dalaman pesakit.

Contohilah keperibadian Ibnu Sina, yang tidak pernah jemu meneroka dan mendalami pelbagai bidang ilmu.  Sama ada ilmu fardu ain mahupun fardu kifayah, kedua-duanya penting dalam kita mengharungi kehidupan.  Semoga lebih ramai umat Islam yang lahir setanding Ibnu Sina pada hari ini dan masa hadapan.  Amin.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!