Ibu bapa dan kelainan berpuasa Ramadan sewaktu PKP

Kehidupan Chan Abdullah 05-Mei-2020
Iftar di rumah bersama keluarga © Odua | Dreamstime.com

Tahun ini, seluruh dunia terpaksa menghadapi norma kehidupan yang baharu. Akibat serangan koronavirus baru COVID-19, hampir seluruh negara di dunia mengeluarkan perintah berkurung. Di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan.

Ramadan kali ini telah berlangsung dalam tempoh PKP. Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru sahaja dimulakan semalam, pastinya kebiasaan sepanjang Ramadan tahun-tahun sebelum ini tidak dapat dilaksanakan.

Bagi kaum ibu, tentunya Ramadan kali ini lebih mencabar daripada tahun-tahun terdahulu. Ketiadaan bazar Ramadan sedikit sebanyak menambah senarai tugas ibu untuk menghasilkan juadah berbuka dan sahur setiap hari. Jika dahulu, boleh sahaja membeli juadah berbuka terutamanya kuih-muih di bazar Ramadan.

Tahun ini, para ibu terpaksa lebih kreatif dalam menghasilkan menu di rumah setiap hari. Sudah tentu banyak permintaan daripada keluarga yang rindu dengan pelbagai juadah yang biasa didapati ketika bulan Ramadan.

Bagi kaum ayah pula kalau dulu, mungkin biasa menjadi makmum sewaktu solat tarawih. Kali ini, kenalah ambil peranan sebagai imam pula untuk solat berjemaah di rumah dengan keluarga. Selain itu, para ayah juga bolehlah teruskan tradisi bertadarus di rumah bersama keluarga.

Walaupun tiada lagi Imam dan ustaz yang boleh betulkan bacaan, ayah dan keluarga bolehlah merujuk kepada pelbagai medium yang ada. Aplikasi telefon, bacaan Al-Quran qari-qari terkenal dan sebagainya. Manfaatkan penggunaan teknologi untuk membantu anda.

Sebagai ketua keluarga, para ayah juga perlulah tunjukkan contoh yang baik pada anak-anak dan isteri. Para ayah boleh ajar anak-anak dan isteri untuk turut menghidupkan malam-malam hari di bulan Ramadan ini.

Bagi peniaga terutamanya peniaga kecil, pastinya Ramadan kali ini amat mencabar. Banyak peniaga yang pendapatannya terjejas akibat tidak boleh menjual di bazar Ramadan. Waktu inilah para peniaga perlu lebih kreatif dan manfaatkan penggunaan teknologi sepenuhnya.

Para peniaga boleh membuat jualan secara atas talian dan membuat khidmat penghantaran. Mungkin hasilnya tidak sama seperti sewaktu biasa. Namun, sekurang-kurangnya inilah usaha di dalam norma kehidupan yang baharu yang perlu anda pelajari.

Mungkin juga ada hikmah disebaliknya. Melalui PKP, tiada lagi majlis-majlis berbuka puasa dibenarkan untuk dilangsungkan. Secara tidak langsung, ketiadaan majlis-majlis berbuka puasa ini dapatlah mengurangkan pembaziran makanan.

Keluarga juga dapat memanfaatkan masa PKP ini untuk menghayati dan menjalani ibadah puasa bersama-sama. Apapun cabaran yang kita hadapi, perlulah kita tempuhi dengan sabar dan sentiasa berdoa memohon perlindungan dari Allah SWT.