Ibu bapa jangan membandingkan anak, ada kesan negatifnya!

Keluarga 18 Feb 2021 Md Wa'iz
Pilihan
Ibu bapa jangan membandingkan anak, ada kesan negatifnya!
Ibu bapa jangan membandingkan anak, ada kesan negatifnya! © dotshock | Dreamstime.com

“Cuba ikut macam anak jiran sebelah tu, pandai belajar.” Mungkin ramai ibu bapa di luar sana yang sering membandingkan anak, sama ada sesama anak sendiri atau dengan anak orang lain.

Tahukah anda semua, perbuatan membandingkan anak ini adalah tidak sihat dan boleh memberikan kesan negatif.

Kesan negatif membandingkan anak

Setiap ibu bapa pasti mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Namun, ada beberapa perkara yang ibu bapa sering terlepas pandang termasuklah membandingkan anak.

Perbuatan membandingkan anak ini mempunyai kesan negatifnya yang tersendiri. Antara kesannya ialah:

1. Membuatkan anak berkecil hati

Setiap manusia tidak mengetahui apa yang ada dalam hati manusia lain. Ibu bapa sendiri tidak mengetahui apa yang terkandung dalam hati anak masing-masing.

Cuba bayangkan, anak anda telah berusaha sebaik mungkin dalam peperiksaannya. Namun, mungkin bukan rezekinya lagi, keputusan peperiksaan tidak begitu baik. Anda pula menegur anak anda dengan membandingkannya dengan anak jiran yang cemerlang.

Pastinya hati anak anak berasa kecil hati dengan tindakan anda. Jika ibu bapa sendiri tidak memberi sokongan kepada anak, siapa lagi?

Oleh itu, setiap kali anak kurang cemerlang dalam mencapai sesuatu, beri galakan bersifat positif kepadanya.

2. Melunturkan keyakinan diri anak

Selain itu, perbuatan membandingkan anak juga boleh mengurangkan keyakinan diri seorang anak.

Jika kita kerap merendah-rendahkan kebolehan seseorang, pasti lama-kelamaan dirinya sendiri kurang percaya dengan kebolehannya. Dengan itu, dia pasti akan mudah berputus asa kelak.

Perlu diingat, setiap anak dikurniakan kebolehan dan kekurangan masing-masing. Berkemungkinan dia tidak cemerlang dalam satu bidang, tetapi sangat berjaya dalam satu bidang yang lain.

Oleh itu, terokai bakat dan kebolehan anak anda dan beri galakan kepada mereka sepanjang masa.

3. Menghalang pertumbuhan bakat anak

Jika ibu bapa kerap membandingkan kebolehan anak dengan hanya satu tanda aras sahaja, maka anak berpotensi untuk menyimpan sahaja bakat lain yang dimilikinya. Ini kerana, anak anda mungkin akan menganggap bahawa anda hanya akan menilai mereka berdasarkan satu kebolehan sahaja.

Sebagai contoh, anda hanya melihat keputusan peperiksaan yang cemerlang sahaja sebagai satu pencapaian. Namun, anda tidak mengetahui bahawa anak anda juga berbakat dalam bidang sukan dan seni.

Akan tetapi, oleh kerana anda hanya menyebut kepentingan peperiksaan sahaja, maka anak anda melupakan bakatnya dan tidak mengembangkan kebolehannya.

Kebolehan manusia berbeza

Ada yang kita mampu lakukan, namun ada juga yang kita tidak mampu. Sebagai orang dewasa, kita juga akui bahawa tidak semua perkara mampu dilakukan oleh kita.

Begitu juga dengan anak-anak, ada yang berkemampuan dalam satu bidang, namun ada juga yang cemerlang dalam bidang yang berbeza.

Oleh itu, raikan kebolehan setiap anak anda dan jangan membanding-bandingkan mereka. Setiap kebolehan adalah satu kurniaan, manakala setiap kekurangan itu adalah lumrah manusia.

Menghargai anak juga adalah satu tanda kita menyayangi mereka.