Ibu bapa pencetus semangat untuk anak-anak huffaz

Al-Quran Siti Nur Baiin Che Harun
Terkini oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Ibu bapa pencetus semangat untuk anak-anak huffaz
Ibu bapa pencetus semangat untuk anak-anak huffaz © Zulkiffle Mohd Kassim | Dreamstime.com

Artikel ini membincangkan tentang bagaimana ibu bapa perlu menjadi pencetus semangat untuk anak-anak huffaz (yang menghafaz al-Quran) . Hari ini, suasana dan persekitan pendidikan anak-anak amat berbeza sekali. Anak-anak ini perlu melaluinya tanpa sebarang induksi atau persediaan fizikal dan mental yang sepatutnya.

Dalam situasi serba mencabar, kita sebagai ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam mendidik dan memberi sokongan tidak kira dari apa jua aspek. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang belajar di sekolah tahfiz terutama anak-anak kecil yang baru mengenal erti “suka” kepada suasana sekolah.

Ibu bapa pencetus semangat untuk anak-anak huffaz

Ibu bapa perlu bertanggungjawab dan menjalankan amanah yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam mendidik anak-anak. Seperti firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Anfaal, ayat 27)

Beri semangat dan dorongan

Anak-anak yang menghafaz al-Quran ini sangat memerlukan semangat dan dorongan dari ibu bapa. Tidak kira kita sebagai ibu bapa bekerja atau tidak. Ini kerana, suasana belajar di rumah sudah tidak sama dengan sebelum norma baharu.

Jika di sekolah, anak-anak huffaz ini berlumba-lumba dan bersemangat menghafaz al-Quran bersama kawan-kawan selain mendapat pengawasan dan batuan dari guru-guru di sekolah.

Ibu bapa contoh teladan yang baik

Jika dilihat dari segi memberi contoh teladan yang baik buat anak-anak huffaz ini, ibu bapa perlu lebih lagi menunjukkan teladan yang baik supaya anak-anak dapat menyerap aura positif ini.

Perbanyakkan budaya membaca al-Quran di rumah, memasang bacaan ayat-ayat al-Quran untuk meransang minat dan keinginan anak-anak untuk menghafaz al-Quran di rumah.

Ibu bapa penenang kepada jiwa dan mental

Selain itu, ibu bapa perlu mendalami jiwa anak-anak yang dalam proses pembelajaran ini. Ini adalah kerana, cabaran menjadi pelajar yang menghafaz al-Quran adalah lebih mencabar berbanding pelajar yang tidak menghafaz al-Quran.

Mereka memerlukan suasana yang lebih tenang supaya proses menghafaz menjadi lebih mudah dan lancar. Ibu bapa boleh menjadi penenang kepada anak-anak dengan selalu mengucapkan ucapan atau dorongan yang positif. Ini akan memberi kesan yang amat besar kepada jiwa dan mental anak-anak.

Ibu bapa yang suka berdoa

Dalam usaha kita membentuk dan memberi semangat kepada anak-anak, doa ibu bapalah yang akan menjadi senjata atau ubat yang paling mujarab. Ia boleh memberi lebih barakah dalam menjalani proses hafazan di rumah.

Selalulah berdoa kepada Allah SWT supaya diberikan kelancaran kalam dan minat terhadap Kalamullah. Ia penting buat diri, anak-anak dan keluarga menghafaz ayat-ayat suci al-Quran.