Ibu bapa tunjang pendidikan pelajar

Keluarga Tari Basir
Terkini oleh Tari Basir
Ibu bapa tunjang pendidikan pelajar
Ibu bapa tunjang pendidikan pelajar © Sorrapong Apidech | Dreamstime.com

‘Ibu bapa tunjang pendidikan pelajar’ – Kehadiran pandemik virus COVID-19 telah mengubah keseluruhan landskap aspek dalam seluruh pelosok alam. Sama ada aspek politik, ekonomi, mahupun pendidikan, tidak ada satu pun landskap yang terlepas daripada ratahan perubahan.

Meskipun manusia telah berjaya beradaptasi dengan norma baharu, namun ia tidak bermakna mereka berjaya memperolehi hasil yang baik. Bahkan, banyak perkara yang harus dikorbankan, agar tidak semua yang terkorban.

Dalam landskap pendidikan, ibu bapa kini menjadi guru kedua rasmi kepada anak-anak. Penjarakan sosial telah memaksa jutaan sekolah terpaksa ditutup, dan bermulanya pembelajaran dalam talian. Guru-guru terpaksa mengajar ratusan pelajar mereka di rumah, dengan dibantu oleh ibu bapa mereka.

Persoalannya, bagaimana kesanggupan ibu bapa dalam menjadi guru kedua rasmi anak-anak? Ibu bapa juga sibuk dengan kerja dan komitmen lain, ditambah dengan kurangnya pengalaman sebagai seorang guru.

Isu yang dibangkitkan ibu bapa

Sebahagian daripada ibu bapa memberi persepsi yang negatif terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh para guru. Penjarakan sosial dan penutupan sekolah telah memaksa para guru berfikir di luar kotak, dan terpaksa bereksperimen dengan sesuatu yang di luar kepakaran mereka.

Meskipun tidak semua negara bersedia dengan pembelajaran dalam talian, tidak semua rumah memiliki jaringan internet yang baik, kelengkapan pembelajaran seperti telefon bimbit atau komputer riba yang mencukupi, namun itulah antara kepahitan norma baharu yang harus ditelan ibu bapa.

Mereka mempersoalkan tidak punya masa untuk memantau anak-anak mereka disebabkan komitmen kerja, tidak cukup jaringan internet, tidak pandai mengajar, beban kerja sekolah yang diberikan para guru terlampau banyak, dan lain-lain lagi.

Malah lebih teruk lagi, golongan ini tadi mentohmah para guru hanya makan gaji buta, bekerja sambil lewa, tidak berusaha gigih dan lain-lain. Bahkan juga mengusulkan agar gaji para guru dipotong separuh dan diserahkan kepada mereka. Kerana mereka pula yang menggalas beban para guru di rumah.

Tidak dinafikan, seluruh persoalan itu merupakan persoalan yang logik dan benar. Namun, perkara penting untuk golongan ini fikirkan ialah:

“Adakah para guru mempunyai pilihan yang lebih baik lagi?”

Gandingan mantap antara ibu bapa dan guru

Majoriti guru menyedari segala isu yang dibangkitkan oleh ibu bapa. Sebahagiannya ialah benar dan logik, sebahagiannya hanyalah datang dari sikap suka mencari kesalahan dan buruk sangka. Kerana itulah, sejauh mana ibu bapa mempersoalkan kredibiliti dan kemampuan para guru ketika norma baharu ini, percayalah tidak siapa yang lebih baik dalam menghadapinya melainkan para guru.

Kerana itulah, ibu bapa perlu kembali menjadi tunjang pendidikan anak-anak, bersama para guru. Daripada ibu bapa bertikam lidah menunding jari terhadap kelemahan pendidikan norma baharu, maka mengapakah mereka tidak berganding tangan bersama para guru?

Utarakan cadangan, perbaiki kekurangan. Jika tidak mampu, sekurang-kurangnya sokonglah para guru yang hanya mampu menongkah arus perubahan. Biarkan ombak yang kuat datang dari norma baharu, bukan ibu bapa yang turut sama menjadi jerung dalam ombak itu.

Percayalah, para guru telah memberikan segala yang termampu dalam pendidikan norma baharu. Benarlah, para guru umpama lilin yang membakar diri demi menerangi para pelajarnya yang berada dalam kegelapan.

Namun, adakah ibu bapa turut sama membiarkan diri mereka terbakar bersama lilin para guru, atau mereka yang menjadi api membakar marak lilin tersebut. Tepuk dada, tanya selera.