Ibu bapa wajib ajar anak-anak minta izin sebelum masuk bilik tidur

Keluarga 24 Nov 2020 Md Wa'iz
Ibu bapa wajib ajar anak-anak minta izin sebelum masuk bilik tidur
Ibu bapa wajib ajar anak-anak minta izin sebelum masuk bilik tidur © Odua | Dreamstime.com

Sebagai ibu bapa, anda bertanggungjawab mendidik anak anda dengan pelbagai adab bagi menjadikan mereka seorang yang berakhlak dan berbudi pekerti. Salah satu perkara yang perlu ditekankan untuk diajar kepada mereka ialah kewajipan meminta izin sebelum memasuki bilik tidur anda.

Kami terangkan disini beberapa hal penting termasuklah waktu kanak-kanak dilarang memasuki bilik anda.

Wajib untuk kanak-kanak meminta izin sebelum masuk bilik ibu bapa

Perintah atau kewajipan meminta izin ini ada dirakamkan dalam Al-Quran. Allah berfirman dengan maksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).

Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain.

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Quran, Surah Annur, Ayat 58 – 59)

Daripada maksud ayat tersebut, dapat kita fahami bahawa terdapat suruhan daripada Allah Taala untuk mengajarkan anak-anak untuk meminta izin sebelum masuk ke bilik ibu bapa. Suruhan ini tidak mengira sama ada kanak-kanak tersebut masih belum baligh atau sudah baligh.

Apabila seseorang kanak-kanak itu sudah boleh membezakan antara perkara yang baik dan tidak baik, maka mereka perlu meminta izin sebelum masuk ke bilik ibu bapa mereka.

Apatah lagi jika kanak-kanak tersebut sudah mencapai akal baligh, ia mestilah menjadi satu kemestian kepada mereka untuk meminta izin.

Tiga waktu paling utama untuk minta izin

Kanak-kanak mestilah diajar untuk meminta izin sebelum memasuki bilik ibu bapanya setiap waktu. Namun, tiga waktu ini adalah waktu yang paling ditekankan untuk mereka meminta izin. Waktu-waktu tersebut ialah:

  1. Sebelum waktu solat subuh
  2. Ketika waktu Zuhur atau waktu tengahari
  3. Selepas waktu Isyak iaitu ketika hampir waktu tidur

Untuk jaga adab dan penglihatan

Antara tujuan utama kewajipan meminta izin ini adalah untuk mendidik kanak-kanak supaya menjadi seorang yang berakhlak dan bersopan dalam setiap tingkah laku mereka.

Kedua, ia bertujuan mengajar anak-anak anda untuk menghormati dan menjaga privasi orang lain di dalam rumah tersebut.

Selain itu, ia juga bertujuan menjaga pandangan mereka agar tidak melihat sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat.