Ibu dan anak susuan

Budaya Hanita Hassan 28-Ogo-2020
dreamstime_s_39599501
Susu minuman kegemaran Nabi Muhammad SAW © Hongqi Zhang (aka Michael Zhang) | Dreamstime.com

Anak susuan adalah anak yang mendapat susu daripada perempuan yang bukan ibunya pada usia kurang dua tahun sebanyak lima kali kenyang sama ada secara terus, menggunakan botol atau cawan.

Dari segi syarak, hukum seseorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya adalah harus dalam sesetengah keadaan disebabkan kepentingan tertentu atau bagi memenuhi keperluan tertentu.

Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.”  (Surah al-Talaq, ayat 6). Syarat untuk menjadi ibu susuan ada tiga perkara iaitu ibu, anak dan susu ibu.  Ibu yang dimaksudkan tidak disyaratkan berkahwin atau hamil.

Nabi Muhammad SAW sendiri mempunyai ibu susuan iaitu Halimahtus Sa’adiah r.a.  Menjadi tradisi Arab menghantar bayi yang baru lahir untuk disusukan di persekitaran padang pasir yang lebih sihat berbanding di kota Makkah.

Baginda SAW disusukan sehingga cerai susu sekitar usia dua tahun sebelum dipulangkan semula kepada bonda Baginda, Aminah binti Wahab r.a. Penyusuan menyebabkan terjalinnya hubungan kekeluargaan antara anak susuan dan keluarga ibu susuan.

Hubungan ini memberi kesan dalam mewujudkan golongan yang haram dikahwini sebagaimana hubungan keturunan iaitu:

  • Ibu dan ke atas
  • Anak perempuan dan ke bawah
  • Saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa
  • Ibu saudara sebelah bapa dan ibu saudara sebelah ibu, sekalipun jauh hubungan persaudaraannya
  • Anak perempuan kepada saudara lelaki seibu sebapa, seibu atau sebapa
  • Anak perempuan kepada saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa

Apabila wujud hubungan kekeluargaan disebabkan penyusuan, maka golongan yang sama daripada susur galur ibu susuan juga haram dikahwini.  Suami haram berkahwin dengan ibu mertua dan anak tirinya, seorang lelaki haram berkahwin dengan ibu tirinya dan juga menantunya.

Justeru, sekiranya hubungan kekeluargaan adalah dengan sebab susuan, maka hukumnya haram perkahwinan sama dengan hubungan keturunan.  Oleh itu, suami haram berkahwin dengan ibu susuan kepada isterinya dan anak susuan kepada isterinya.

Seorang lelaki juga haram berkahwin dengan isteri kepada bapa susuannya dan isteri kepada anak susuannya iaitu menantu susuan. Pengharaman perkahwinan tersebut adalah disebabkan perkahwinan. Daripada Ibn Abbas r.a, sabda Rasulullah SAW:  “Mereka yang haram dikahwini kerana keturunan, haram juga dikahwini dengan susuan.”  (Hadis riwayat al-Bukhari 2502 dan Muslim 1447).

Semua perkara yang halal dalam kalangan keluarga kerana keturunan halal juga kepada keluarga kerana susuan.  Seseorang lelaki adalah halal apabila melihat saudara perempuan susuannya sebagaimana saudaranya sendiri.

Tinggal bersendirian dengannya atau khalwat yang haram antara lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai hubungan keturunan dan bermusafir dengannya melebihi tiga hari. Walau bagaimanapun, jagalah pergaulan dan paling penting anak susuan mempunyai hak untuk hibah atau wasiat.

Daripada Ibnu Abbas, bahawa sesungguhnya Nabi SAW ingin mengahwini anak perempuan Saidina Hamzah r.a, maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Anak perempuan Saidina Hamzah itu tidak halal dikahwini dengan aku kerana ia merupakan anak perempuan saudara susuanku dan haram dengan sebab susuan itu dengan wanita yang haram dikahwini dengan sebab kerabat (keluarga).” (HR Muslim)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam mendalami ilmu agama dan mengamalkannya.