Ibu dan bapa yang kita sayang

Sahsiah Abi Aasim 17-Sep-2020
dreamstime_s_178963586
Cintai dan sayangi ibu bapa © dotshock | Dreamstime.com

“Satu… kasih yang abadi tiada tandingi Dia yang Satu.”

“Dua… sayang berpanjangan membawa ke syurga kasihnya ibu.”

“Tiga… lapar dan dahaga rela berpayahan setianya ayah.”

Petikan lirik ini selalu terlintas dalam fikiran setiap kali teringatkan ibu bapa yang tersayang. Lagu yang dipopularkan oleh Aris Ariwatan ini, membawa maksud yang mendalam terhadap kasih sayang kepada ibu bapa. Setiap insan pasti sayang akan ibu bapanya. Permulaan kita di atas muka bumi ini adalah kerana ibu bapa dengan izin Allah SWT. Tanpa ibu bapa tidak wujudlah kita di dunia yang sementara ini.

Tidak kira agama mahupun bangsa sudah pasti semua menitiberatkan tentang kepentingan menghormati ibu bapa. Islam mensyariatkan agar anak-anak menghormati ibu-bapa mereka dalam keadaan apa sekalipun. Kerana mereka juga antara asbab pintu tengah Syurga kita di akhirat kelak. Seperti mana yang disebut di dalam hadis:

Daripada Abu Darda’ r.a, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Ibu bapa (orang tua) merupakan pintu tengah Syurga, Jika kamu mahu letakkanlah pintu itu atau jagalah ia.” (Hadis riwayat At-Tarmidzi, 1900)

Para ibu bapa telah menjaga kita sejak dari kita kecil. Daripada kita tidak boleh berbicara sehinggalah petah berkata-kata. Daripada merangkak sehingga boleh berjalan dan berlari. Daripada tidak mengetahui apa-apa sehingga mengenai erti sebuah kehidupan. Ibu bapa bertungkus-lumus mencari nafkah untuk memastikan anak-anak sentiasa mempunyai kehidupan yang baik dan selesa. Mereka tidak pernah kenal erti penat lelah dalam memastikan kita mendapat kehidupan yang sempurna.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir anak yang tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa mereka atas pelbagai sebab. Tidak terkecuali juga anak yang didera oleh ibu bapa mereka sendiri walaupun mereka masih kecil. Sudah pasti dalam jiwa anak-anak ini akan timbulnya kebencian terhadap ibu bapa mereka. Namun begitu dalam Islam, melarang kita membenci mereka atau pun bersikap kurang ajar kepada mereka.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ ayat 23: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua (dalam jagaan dan peliharaan) maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ahh’ serta janganlah kamu menengking mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Anak-anak perlulah sentiasa mentaati kedua ibu bapa kecuali bila mereka menyuruh melakukan perkara yang dilarang Allah SWT. Apabila meningkat dewasa, sudah mengenal dunia sebenar janganlah kita lupa akan ibu bapa kita. Cuba luangkan masa pulang ke kampung halaman menjenguk mereka jika berkesempatan. Pada zaman teknologi ini anak-anak boleh membuat panggilan video untuk melepaskan rindu.

Natijahnya, kita sebagai anak haruslah sentiasa menyayangi dan mencintai kedua ibu bapa kita. Seperti mana mereka menyayangi kita dan mencintai kita sejak dari kecil. Seharusnya bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa, syukurilah nikmat tersebut.

Ayah dan ibu, itulah permulaan kami, dapat melihat bulan dan matahari. Salam sayang ayah dan ibu.