Ibu itu ratu di Aidilfitri

Kepercayaan Hanita Hassan 25-Mei-2020
Ibu ratu hati setiap anak © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Setiap kali Syawal menjelma, ibu adalah wanita yang paling dirindui.  Keceriaan  hari raya akan pudar serinya tanpa kehadiran seorang wanita yang bergelar ibu.  Hari raya adalah hari penting dalam semua keluarga umat Islam selepas sebulan berpuasa, menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadan.

Seperti lirik lagu ‘Suara Takbir’ oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ketibaan Syawal disambut dengan hati gembira, bertemu keluarga dan bermaaf-maafan sesama kita.  Anak kecil paling gembira di pagi raya kerana dapat berbaju baharu dan mengumpul duit raya. Bagi ibu bapa, kegembiraan bertambah apabila anak-anak yang tinggal jauh dan mungkin hanya setahun sekali bersua muka dapat berkumpul satu keluarga.

Biasanya ibu akan membuat semua persiapan hari raya.  Ayah akan membantu jika keringat dia diperlukan, terutama dalam bab yang memerlukan lebih guna kerja tenaga. Bab membersih dan menghias rumah, memasang langsir baharu, menjahit baju raya, membuat kuih muih, sehinggalah memastikan ayam dan lembu sudah disiapkan untuk rendang dan gulai terangkum dalam benak ibu.

Sebelum pengumuman anak bulan dibuat di kaca televisyen, ibu akan memastikan  bahan untuk  menyediakan ketupat dan aneka  jenis rendang dan gulai serta lemang sudah dilengkapkan.  Terkenang semua kegigihan ibu membuatkan hati menjadi pilu.  Tanpa sedar air mata pun gugur.  Begitulah putaran kehidupan.  Kini kita sebagai ibu pula mengambil alih tugas ibu kita dan melakukan perkara yang sama untuk anak-anak.

Islam meletakkan ibu pada kedudukan tertinggi. Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud:

“Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik?, jawab Rasulullah SAW: Ibumu.

Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? ujar Baginda: Ibumu.

Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu.

Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.”

Begitulah  ibu yang sebenar, wanita yang menjadi ratu hati setiap insan yang bergelar anak.

Malik bin Rabiah r.a. menceritakan, ketika kami bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang menghadap seorang lelaki dari Bani Salamah, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah saya masih berpeluang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa saya, adakah saya wajar berbakti kepada mereka selepas kematian mereka?

Rasulullah SAW menjawab: Ya, dengan cara mendoakan kedua-duanya, memohon keampunan kepada mereka, menunaikan janji mereka, memuliakan kawan mereka dan membina silaturahim yang tidak boleh dihubung melainkan dengan keduanya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Mereka yang berbakti kepada ibu bapa, doanya mustajab. Doa ibu bapanya juga mustajab dan melihat wajah ibu bapanya akan dikira sebagai ibadah. Berbakti kepada ibu bapa dapat menghapuskan dosa dan kesalahan serta keredaan Allah SWT juga berada pada keredaan ibu bapa.

Salam Aidilfitri. Maaf zahir dan batin. Hargailah ibu dan orang tersayang selagi kita mempunyai kesempatan.