Idea tanaman kebun kecil di rumah

Kehidupan Chan Abdullah 06-Ogo-2020
Hasil tanaman serai dan cili padi © Tanes Ngamsom | Dreamstime.com

Bahagia rasa hati bila dapat berbudi kepada tanah. Memang tidak mendatangkan rugi  bila kita menceburkan diri untuk bercucuk tanam. Ruginya bila kita tidak mengambil peluang yang sedia ada. Selain dapat merasa hasil tanaman sendiri, aktiviti berkebun juga dapat mengisi masa lapang yang terluang.

Meskipun tinggal  di kawasan rumah yang tidak mempunyai kawasan bertanah seperti di kampung bukanlah penghalang untuk kita merasai nikmat berkebun di rumah. Aktiviti berkebun dapat dilakukan secara kecil-kecilan mengikut kepada kreativiti masing-masing. Kita boleh sahaja bercucuk tanam di dalam pasu. Anda pening memikirkan tanaman yang bersesuaian untuk ditanam di dalam pasu? Berikut ialah beberapa jenis tanaman yang sesuai untuk kebun kecil di rumah anda.

Cili Padi

Tidak lengkap masakan tanpa cili padi walaupun anda bukan penggemar makanan pedas. Bagi peminat makanan pedas, apa kata anda mulakan aktiviti berkebun di rumah dengan tanaman cili padi. Sediakan pasu berisi tanah dan masukkan biji benih cili. Siram dua kali sehari pada waktu pagi dan petang. Tiba masanya anda boleh memetik cili padi dari rumah sahaja untuk digunakan dalam masakan.

Serai

Serai adalah antara tumbuhan yang wajib ada untuk hampir setiap masakan yang dimasak. Jika sebelum ini kita membeli serai di pasaraya, kini sudah boleh menanam serai  di rumah. Hanya perlu rendamkan bahagian akar lebihan serai di dalam bekas yang berisi air. Akar serai akan mula tumbuh selepas tiga hingga empat hari. Apabila sudah keluar tunas boleh dipindahkan ke dalam pasu lain yang lebih besar dan tanam secara menyerong untuk inaya tumbuh lebih subur. Siramkan sebanyak dua kali sehari.

Halia

Halia kebiasaannya digunakan dalam masakan seperti sup dan juga masakan hidupan laut seperti sotong dan udang. Selain untuk mengeluarkan angin dalam badan, halia juga dapat menghilangkan rasa hanyir pada masakan hidupan laut. Cara tanamannya cukup mudah. Pilih halia yang sudah mengeluarkan tunas dan tanamkan di dalam pasu yang telah siap diisi tanah. Letakkan di tempat yang teduh dan maksimakan penerimaan cahaya matahari. Jangan lupa siram, ya.

Kunyit

Walaupun lebih mudah menggunakan kunyit serbuk yang telah sedia dijual di pasaraya, namun aromanya  begitu berbeza jika dibandingkan dengan kunyit hidup. Untuk menanam, balutkan lebihan kunyit yang belum dipotong menggunakan surat khabar ataupun kertas yang telah dilembabkan dengan air. Biarkan selama dua hingga tiga minggu sehingga tunasnya keluar. Kemudian boleh pindah dan masukkan kunyit ke dalam pasu yang berisi tanah.

Walaupun tidak banyak yang dapat ditanam namun hasilnya nanti dapat terus digunakan secara segar. Bak kata orang umpama datang dari ladang. Begitulah beberapa idea tanaman untuk kebun kecil anda di rumah. Berbudi pada tanah, tanah tidak tipu, berkebin kecil di rumah, tuai hasil mana yang mampu.