IGP: Kadar indeks jenayah negara turun 7.5 peratus

Uncategorized Hafiz Firdaus 24-Jan-2020
Polis Malaysia
© Jasniulak | Dreamstime.com

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggap antara kejayaan yang telah dicapai tahun lepas adalah turunnya kadar indeks jenayah sebanyak 7.5% secara keseluruhan. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pengurangan kadar jenayah tersebut sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara yang semakin selamat.

Mengulas lanjut, beliau menerangkan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah berjaya mengurangkan sebanyak 249 kes jenayah berbanding sasaran sebanyak 269 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) juga berjaya menyelesaikan 21,016 kertas siasatan daripada 26,465 dan sebanyak 17,582 operasi telah dilaksanakan dengan 15,876 orang ditahan atas pelbagai kesalahan. Berdasarkan statistik itu, JSJK berjaya mencapai 79% kadar penyelesaian kes.

Bagi merubah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) supaya terus memainkan peranan penting dalam memerangi dadah, sembilan jenis operasi khusus telah dilancarkan, termasuk program-program seperti ‘Program Naziran By Night’ dan ‘Program Nurture For Betterment’.

Menerusi Op Blue Devil, keseluruhan organisasi PDRM juga tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang apabila seramai 268 pegawai dan anggotanya juga ditangkap kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Malahan, kes terbaru sejak awal tahun hingga 17 Januari lepas, sembilan warga PDRM telah ditangkap kerana positif ujian air kencing.

Menurut Abdul Hamid, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman pula telah mencapai peningkatan positif sebanyak 73.3% apabila berjaya menjalankan 1,665 operasi bersepadu berbanding 961 operasi pada tahun sebelumnya. Daripada keseluruhan 101,404 operasi, sebanyak 3,086 pesalah trafik telah ditangkap dan 296 didapati bersalah atas kerana kesalahan yang berlainan. JSPT juga telah berjaya menyelesaikan banyak kes-kes jalan raya yang ditularkan masyarakat, seperti kejadian ‘road rage’, langgar lari, buli jalan raya, memandu di bawah pengaruh dadah dan juga pemandu mabuk.