Ikhlas itu di mata atau di hati?

Sahsiah Abi Aasim 12-Mei-2020
Ikhlas dalam menyelesaikan semua kerja © Chamaiporn Kitina | Dreamstime.com

Ikhlas ialah sifat hati  yang melakukan sesuatu perbuatan kerana Allah SWT. Ketika melakukannya, hati seharusnya tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu, juga tidak kepada harta kamu, akan tetapi Dia melihat kepada hati dan amal kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Kenapa perlu ada ikhlas dalam setiap perbuatan yang kita lakukan?

  • Mendekatkan diri kita dengan Allah SWT
  • Menyemai peribadi mulia di dalam diri
  • Mengelak daripada melakukan sesuatu kerana ingin dapat pujian
  • Membetulkan niat untuk melakukan sesuatu perkara

Sukar untuk menanamkan sifat ikhlas dalam diri kerana hati manusia ini selalu berbolak-balik. Tambahan pula, syaitan selalu menggoda dan mengganggu manusia hingga timbulnya perasaan was-was dan prasangka dalam diri.

Sedikit perkongsian bagaimana untuk ikhlas dalam sesuatu perkara yang kita bakal lakukan:

  • Mengharapkan keredaan Allah SWT dan penerimaan-Nya dalam setiap amal perbuatan yang dilakukan
  • Amal bukan untuk diri sendiri
  • Jangan berbeza amalan kebaikan yang dilakukan secara sembunyi dan juga secara terang-terangan
  • Amalan kebaikan bukan modal untuk kita bermegah-megah
  • Janganlah buat kebaikan untuk mendapat kepentingan seperti sanjungan dan pujian orang ramai

Ramai yang berpendapat dan berhujah, jika tidak ikhlas janganlah melakukan amalan tersebut, sia-sia sahaja hasilnya nanti. Misalnya jika tidak ikhlas, jangan bersedekah.

Soalnya begini. Ada sesetengah amalan merupakan perintah Allah SWT, seperti solat, menutup aurat dan berpuasa. Jadi jika tidak ikhlas, adakah tidak perlu untuk kita melakukannya?

Hukumnya masih wajib ditunaikan walaupun tidak ikhlas. Jika kita melakukannya secara terpaksa sekalipun dan tidak ikhlas, kita tetap menunaikannya. Kita tunaikan amalan tersebuat agar dapat mendidik hati kita untuk ikhlas.

Ikhlas kerana Allah SWT ialah apabila seseorang itu melaksanakan suatu perkara kebaikan, tujuannya adalah untuk mendapatkan keredaan Yang Maha Mengasihani.

Ikhlas adalah suatu sikap terpuji yang sangat disenangi oleh semua golongan masyarakat. Keikhlasan dalam diri membuatkan insan lain mudah dekat dan tenang apabila berada bersama anda.

Ikhlas itu di mata atau di hati? Siapalah kita untuk menilainya. Mari kita tanamkan azam untuk beramal dan berusaha melakukan perkara kebaikan dengan ikhlas kerana Allah SWT.