Ikhlas prasyarat amal ibadah

Ikhlas ketika beramal © Muhammad Annurmal | Dreamstime.com

Setiap perkara yang kita lakukan dalam hidup ini mestilah beserta dengan niat. Kita umpamakan niat itu seperti surat. Sekiranya tersilap kita menulis alamatnya, ia akan sampai ke tempat yang salah.  Begitulah pentingnya niat dalam melakukan sesuatu. Tanpa niat semua amalan kita sia-sia sahaja.

Cuba kita perhatikan, ibadah seperti solat, puasa, zakat serta haji.   Kesemua ibadat ini wajib disertakan dengan niat. Allah SWT akan menilai amal ibadat kita sesuai dengan apa yang diniatkan.  Perkara yang dilihat besar nilainya di mata kita belum tentu mempunyai nilai di sisi Yang Maha Kuasa.

Umar al-Khattab r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal (tidak berlaku) melainkan dengan adanya niat dan sesungguhnya setiap seorang hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya. Dengan asas itu, sesiapa berhijrah dengan tujuan mencapai keredaan Allah dan Rasul-Nya; maka hijrahnya itu menyampaikannya kepada (balasan baik) Allah dan Rasul-Nya;

Dan sesiapa berhijrah dengan tujuan mendapat faedah dunia atau dengan tujuan hendak berkahwin dengan wanita, maka hijrahnya itu hanya menyampaikannya kepada apa dituju sahaja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, mintalah pertolongan Allah SWT.  Bimbingan dan petunjuk secara berterusan ini diharap dapat menempatkan kita dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal dengan penuh keikhlasan.

Dalam konteks ini, ikhlas bermaksud melakukan sesuatu amalan atau kebajikan untuk mendapat reda Allah SWT dan Rasulullah SAW.  Elak daripada melakukan sesuatu semata-mata kerana pujian atau  mahu bermegah-megah. Ketahuilah bahawa niat yang ikhlas adalah prasyarat untuk Allah menerima amal ibadah yang kita lakukan.

Hati juga hendaklah bersih untuk mendapatkan keikhlasan.  Kita digalakkan melakukan amalan zikir secara berterusan untuk membersihkan hati.  Kita juga hendaklah meletakkan kebergantungan hanya kepada Allah SWT dan bukan kepada makhluk.  Paling utama, kita lakukan ibadah secara istiqamah.

Allah SWT menilai setiap  amalan berdasarkan keikhlasan.  Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu.”

Ikhlas adalah perintah Allah SWT sepertimana yang difirmankan-Nya dalam Surah az-Zumar, ayat 11 yang bermaksud:  Katakanlah  Wahai Muhammad:  “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadat kepada-Nya.”

Banyak kaedah yang boleh dilakukan untuk memastikan kita melakukan setiap perkara dengan ikhlas.  Antaranya melakukan amalan tanpa perlu memberitahu kepada orang lain.  Contohnya  mengerjakan solat tahjud dan qiamullai di sepertiga malam sewaktu orang sedang tidur.

Amalan yang kita lakukan ini sudah tentu semata-mata kerana Allah SWT.  Kita tidak perlu mendedahkan amal kebaikan atau amal ibadah yang dilakukan.  Dibimbangi ia akan mencalarkan keikhlasan kita.

“Dan barangsiapa menyerahkan diri kepada Allah SWT, sedang dia adalah orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang kukuh.  Dan hanya kepada Allah kesudahan segala sesuatu.”  (Surah Luqman, ayat 22)