Iklan Raya Pilihan 2019

Setiap kali tibanya musim perayaan, antara perkara yang ditunggu-tunggu oleh kita semua adalah iklan raya yang ditayangkan di kaca televisyen.

Pada waktu inilah, syarikat-syarikat korporat atau jenama-jenama terkemuka menerbitkan iklan raya masing-masing dengan pelbagai tema dan plot cerita bagi memenangi hati penonton.

Jika dahulu, kita sering disajikan dengan iklan-iklan raya yang menyentuh hati dan sedih sehingga mampu menitiskan air mata, namun trend itu kini telah berubah, seiring dengan perubahan selera penonton yang lebih gemar akan sesuatu yang trendy, lucu dan berkait rapat dengan kehidupan mereka.

Disebabkan itu, pada tahun ini kita dapat menyaksikan lebih banyak syarikat dan jenama popular berlumba-lumba menerbitkan iklan masing-masing yang berdurasi lebih daripada 3 minit.

Seiring dengan perkembangan media digital, iklan-iklan tersebut bukan sahaja ditayangkan di kaca televisyen, malahan di saluran YouTube dan turut dikongsi siar di media-media sosial.

Berikut kami senaraikan 7 iklan raya tahun 2019 pilihan SalamToday yang bukan sahaja menghiburkan, malahan memberi pengajaran serta mendapat tempat di hati penonton.

 

1. TNB: Konvoi Epik Fantastik

Iklan raya daripada TNB memang tidak pernah mengecewakan. Mengetengahkan tema yang amat dekat dengan tradisi berhari raya di kampung halaman, iklan ini berkisarkan tentang sebuah keluarga besar yang pulang berhari raya di kampung halaman, yang berkonvoi ke 10 rumah sanak saudara mereka. Pelbagai keletah mencuit hati dan insiden-insiden lucu namun penuh bermakna dan berisi pengajaran dapat disaksikan. Iklan ini dapat memberi tauladan kepada golongan muda pada hari ini agar meneruskan tradisi kunjung mengunjung serta mengeratkan ikatan silaturahim sesama keluarga.

Tonton iklan TNB: Konvoi Epik Fantastik 

 

2. Petronas: Rendang SoRaya

Iklan daripada Petronas adalah antara yang paling dinantikan pada setiap kali raya. Sering tampil dengan jalan cerita menyayat hati suatu ketika dahulu, iklan raya Petronas kini dilihat lebih dekat dengan hati penonton dengan tema yang lebih ringan, namun penuh dengan pengajaran. ‘Rendang SoRaya’ mengisahkan mengenai seorang cef pelatih, Soraya yang mencuba sedaya upaya untuk memasak rendang sepertimana yang dimasak oleh arwah ibunya. Ketika pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri, Soraya mengimbas kembali setiap pesanan dan cara ibunya menyiapkan resipi istimewa itu. Hasil daripada ikatan rapat komuniti pelbagai bangsa yang mengenali arwah ibunya, Soraya berjaya menemui rahsia sebenar resipi rendang istimewa itu.

Tonton iklan Petronas: Rendang SoRaya

 

3. Axiata: Project Eid

Syarikat konglomerat telekomunikasi terkemuka, Axiata Group tampil memberi kelainan dalam iklan rayanya, ‘Project Eid’. Lain daripada yang lain, iklan ini berkisahkan tentang Adila yang menggunakan drone untuk menghubungkan abangnya yang tidak dapat pulang beraya dengan ibu dan bapanya di kampung. Mengetengahkan kecanggihan teknologi telekomunikasi bagaikan dalam filem sains fiksyen, idea untuk iklan ini layak diberi pujian kerana ia berada di luar kotak pemikiran kita.

 

Tonton iklan Axiata Group: Project Eid

 

4. Perodua: Raya Macam Tak Raya

Syarikat pengeluar kereta nasional, Perodua turut tidak ketinggalan menerbitkan iklan raya pada tahun ini dengan tema yang sangat dekat dengan masyarakat pada hari ini. Mengisahkan tentang trend anak-anak kita pada masa kini yang kurang menghayati pengertian hari raya dan tradisi kunjung mengunjung sesama jiran. Lebih gemar mengadap gajet pada pagi raya, berbaju T biasa serta enggan berkunjung ke rumah jiran tetangga untuk beraya, sindiran halus itu diketengahkan dengan cemerlang dalam iklan raya Perodua ini.

Tonton iklan raya Perodua: Raya Macam Tak Raya 

 

5. Touch n Go: Bakal Mertuaku Gengster

Meskipun mengetengahkan tema yang santai, iklan raya Touch n Go berjaya mencuit hati penonton dengan lakonan bersahaja dan lucu personaliti media sosial, Mat Luthfi. Mengisahkan tentang seorang jejaka yang ingin melamar kekasihnya, dia sebelum itu perlu berhadapan dengan bakal ayah mentuanya yang kelihatan seperti seorang gengster serta menjawab pelbagai pertanyaan. Ternyata Touch n Go bijak menyelitkan promosi produknya dalam iklan tersebut, seperti mana agresifnya promosi kempen tanpa tunai yang sedang giat dijalankan oleh syarikat itu.

Tonton iklan Touch n Go: Bakal Mertuaku Gengster

 

6. KFC: Original Series – Raya Selamba

Tampil berbeza daripada kebanyakan iklan raya syarikat-syarikat lain, KFC tidak mengeluarkan drama iklan raya, sebaliknya sebuah muzikal dengan lagu raya baharu nyanyian The Venopian Solitude. Bertajuk ‘Raya Selamba’, lagu raya tersebut amat santai, segar dan riang, namun mempunyai maksud yang mendalam.

Tonton iklan raya KFC: Original Series – Raya Selamba 

 

7. Watsons: Ada Hati, Raya Menjadi-Jadi

Menampilkan Ayda Jebat sebagai pelakon utama, iklan raya Watsons, ‘Ada Hati, Raya Menjadi-Jadi’ ternyata menghiburkan dengan tema santai seorang gadis yang menikmati perjalanan pulang ke rumah ayah dan ibunya di kampung. Terlalu teruja untuk menyambut raya, gadis tersebut berasakan perjalanannya bagaikan dalam sebuah cerita dongeng.

Tonton iklan raya Watsons: Ada Hati, Raya Menjadi-Jadi 

 

Foto: Petronas, TNB, Axiata, Perodua, Touch n Go,KFC & Watsons (YouTube)

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Jika dahulu, kita sering disajikan dengan iklan-iklan raya yang menyentuh hati dan sedih sehingga mampu menitiskan air mata, namun trend itu kini telah berubah, seiring dengan perubahan selera penonton yang lebih gemar akan sesuatu yang trendy, lucu dan berkait rapat dengan kehidupan mereka.