Ikon usahawan al-Amin terbaik dalam Islam

Kepercayaan Abi Aasim 06-Jul-2020
Masjid Nabi SAW di Madinah © Emkan1980 | Dreamstime.com

Nabi Muhammad SAW telah mula bekerja sejak usianya 12 tahun. Pekerjaan pertama beliau adalah sebagai seorang penggembala kambing. Apabila dewasa, Baginda telah dilantik oleh Saidatina Siti Khadijah r.a sebagai rakan kongsinya dalam perniagaan. Pada ketika itu, umur Nabi Muhammad SAW mencecah 24 tahun. Sebelum itu, Baginda juga pernah bekerja untuk Siti Khadijah.

Ketika Abdul Mutalib r.a iaitu datuk Nabi Muhammad SAW meninggal dunia, Baginda dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib r.a. Bapa saudara Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Talib adalah seorang tokoh korporat dan ahli perniagaan yang sangat masyhur di Semenanjung Tanah Arab. Abu Talib telah melatih Nabi Muhammad SAW dalam menguruskan perniagaan hingga membawa Baginda ke Syria, Iraq dan negara lain di Timur Tengah.

Nabi Muhammad SAW sangat cekap dan bijak dalam menguruskan hal-hal berkaitan perniagaan dan perdagangan. Melihatkan kepandaian Nabi Muhammad SAW, bapa saudaranya yang terdiri daripada tokoh perniagaan jahiliah iaitu Abu Lahab, Abu Sufian dan beberapa orang lagi daripada puak Bani Hashim telah menawarkan modal perniagaan kepada Baginda.

Namun, tawaran tersebut telah ditolak oleh Nabi Muhammad SAW kerana mendapati terdapat motif eksploitasi terhadap dirinya. Lagipun, Baginda tidak diberikan kebebasan sepenuhnya oleh bapa-bapa saudaranya. Sebaliknya, Siti Khadijah r.a telah memberikan kebebasan kepada Nabi untuk menguruskan perniagaannya tanpa sebarang syarat.

Kejujuran dan sifat amanah Baginda dalam menguruskan perniagaan telah menjadikannya seorang yang terkenal bukan sahaja di Mekah dan Semenanjung Tanah Arab, malah di rantau Arab dan negeri sekitarnya.

Rasulullah SAW sangat masyhur dengan gelaran al-Amin iaitu ‘seorang yang amanah’, kerana Baginda sentiasa menjadi rujukan masyarakat Arab apabila mereka ingin keluar dari kota Mekah sama ada untuk pergi berniaga atau bermusafir

Sebagai seorang peniaga yang menjalankan perniagaan tidak kira dalam bidang apa, perlu untuk kita mengamalkan sifat jujur dan amanah seperti yang telah ditunjukkan  oleh Nabi Muhammad SAW. Sifat jujur yang ada dalam diri Nabi harus dijadikan sebagai pedoman ikon usahawan terbaik dalam menguruskan perniagaan.