Ilmu agama penyuluh hidup insan

Ilmu terangi kehidupan © Golib Tolibov | Dreamstime.com

Islam meletakkan nilai yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan dan pendidikan. Pendidikan cara Islam terkandung dalam gabungan mengasuh (tarbiah) dan mendidik (taklim), sentiasa bersama menyatu dalam proses penerimaan ilmu pengetahuan. Cara ini mewujudkan suatu ketertiban sosial sejagat yang terkait dan padu. Dari segi pencarian ilmu pula, ia adalah sangat terpuji dan berkedudukan dalam tradisi Islam. Kepentingannya terbukti sebagai wahyu pertama dari Allah Maha Suci dan Maha Mulia seperti yang terkandung dalam Al-Quran, iaitu surah 96 (Al-Alaq), ayat 1 iaitu: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).”

Dalam pengertian kaedah Islam, ilmu pengetahuan atau ‘Ilm’ adalah istilah yang merangkumi semua teori, tindakan dan pendidikan, dan tidak terbatas hanya kepada pemerolehan pengetahuan. Ilmu turut  mencakupi perkara dan aspek seperti sosial, ekonomi dan moral. Sebagai Muslim, pendekatan kepada ilmu termasuk memerlukan pengetahuan yang mendalam serta iltizam dan tanggungjawab terhadap kepercayaan dan matlamat agama. Berdasarkan usul ini, pengetahuan keislaman yang bagaimana sebenarnya perlu diketahui umum?

Kepercayaan, keyakinan dan keimanan yang mantap mengenai Islam adalah perkara-perkara paling pokok dalam agama yang mesti menyatu dalam diri. Seterusnya, memperbetulkan kefahaman tentang Yang Maha Agung, iaitu benar-benar memastikan apa-apa bentuk atau falsafah ibadah, pemujaan dan penyembahan ditujukan hanya kepadaNya. Mempelajari akidah keislaman inilah yang menjadikan seseorang itu Muslim yang sebenar. Kerana itu, pengetahuan bukan sekadar patut dihafal, tetapi dihidupkan supaya dapat membawa manfaat dan sumbangan bermakna kepada semua.

Pengetahuan mengenai aspek wajib ibadah solat adalah satu kemestian. Begitu juga mengetahui apa yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam kehidupan seharian. Selanjutnya, memahami tentang tiga bahagian tahap keimanan manusia juga sangat erat dalam tradisi Islam. Tahap-tahap ini adalah Iman, yakni tentang kebenaran; sebagai contohnya pengertian tidak ada Tuhan melainkan Allah Maha Suci dan Maha Mulia. Yang kedua ialah Islam,  iaitu kebaikan atau cara kita bertindak dengan kebaikan. Yang terakhir ialah Ihsan, berkenaan kesempurnaan dalam erti kata mencantikkan iman dan menunjukkannya dalam perbuatan dan tindakan yang indah.

Pengetahuan yang dicari dan dimiliki tersebut, harus dipelihara dengan baik, tidak cukup sekadar mempelajarinya sahaja. Tidak terpeliharanya ilmu menandakan seseorang tidak memperoleh keberkatan darinya. Begitu diutamakan syarat pemerolehan ilmu, begitu juga hebatnya keistimewaan yang dijanjikanNya. Menurut hadis dari Sunan at-Tirmidhi, bab mengenai pengetahuan, keutamaan mencari pengetahuan, Nabi Muhammad (Selamat Sejahtera Kepada Baginda) bersabda: “Sesiapa yang mengambil jalan untuk mendapatkan pengetahuan, Allah menjadikan jalan menuju Syurga mudah baginya.”

Dan kebaikan dan keutamaan pengetahuan yang dipelajari seterusnya perlu disebar atau diajar kepada sesiapa yang memerlukan. Hakikat mencari dan menyampaikan ilmu mengharuskan kita menjaga niat agar keikhlasannya adalah khusus untuk mendapatkan redha dan ganjaranNya. Ia bukan untuk tujuan menonjol atau bersaing dengan orang lain. Mengajarkan ilmu semestinya satu perbuatan yang baik dan mendapat ganjaran yang besar walaupun selepas kematian. Kepada guru yang meninggalkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat, ganjaran itu berterusan selagi ada murid yang mendapat manfaat daripada pengetahuannya.

Secara ringkas, proses mencari ilmu pengetahuan boleh diilustrasikan secara umum. Mulakan dengan cara bertanya soalan dengan penuh beradab. Kemudian ini diikuti dengan rasa tenang ketika mendengar dan memberikan perhatian penuh kepada jawapan. Setelah itu, cuba fahami dengan baik dan dapatkan fakta dan inti kandungan mengenainya. Sesudah itu, teruskan dengan proses menghafal dan mengingati apa yang dipelajari. Kemudian, ajarkan ilmu yang sudah difahami itu kepada orang lain. Akhirnya, hidupkan ilmu tersebut dan bertindaklah dengan mengikut dasar dan batas.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!