Imam Ahmad Ibnu Hanbal – ringkasan hidupnya

Islam untuk Pemula 18 Feb 2021 Hanita Hassan
Hanita Hassan
Imam Ahmad Ibnu Hanbal - ringkasan hidupnya
Imam Ahmad Ibnu Hanbal - ringkasan hidupnya (foto: salinan naskah tulisan Ibnu Hanbal) © Public Domain Link

Imam Ahmad (juga dikenali dengan panggilan Ibnu Hanbal) yang nama penuhnya Ahmad bin Muhammad bin Hanbal ash-Shaybani, merupakan pengasas mazhab Hanbali dan salah seorang imam mazhab yang empat.

Beliau berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah. Seorang ahli hadis, ahli fekah dan ahli sunah yang menyanjung kebenaran dan menentang bidaah.

Imam Ahmad Ibnu Hanbal dan mazhab Hanbali

Ahmad Muhammad Hanbal adalah seorang yang pemurah, zuhud dan faqih (ahli dalam hukum Islam). Beliau gemar bergaul dengan orang miskin, tidak gemar bergurau senda dan lebih suka mendiamkan diri dan berfikir. Beliau akan bercakap apabila menjawab soalan mengenai hukum agama.

Imam Ahmad dikenali dengan nama datuknya, Hanbal iaitu seorang gabenor yang terkenal di Khurasan semasa pemerintahan kerajaan Bani Umayyah.  Ibunya, Safiyyah binti Maimunah dan bapanya Muhammad bin Hanbal adalah daripada suku Syaiban.

Imam Hanbali digelar Al-Basri kerana kedua ibu bapanya dari Basra. Lahir di Baghdad pada 20 Rabiul Awal tahun 164 Hijrah bersamaan 780 Masehi. Pada masa kelahirannya, Imam Abu Hanifah iaitu pengasas mazhab Hanafi telah 14 tahun meninggal dunia. Imam Malik berusia 71 tahun dan Imam Syafie baharu berusia  14 tahun.

Imam Ahmad digelar Al-Hakam kerana boleh menghafaz lebih 700,000 hadis dan berpengetahuan mendalam mengenai ilmu hadis. Membesar sebagai anak yatim setelah kematian bapanya pada usia 30 tahun.

Imam Ahmad belajar ilmu hadis di Baghdad pada usia 15 tahun. Kemudian, beliau ke beberapa buah kota mendalami ilmu agama dan hadis, serta mengumpul sunah dan hadis Nabi Muhammad SAW. Ketika itu, Imam Syafie adalah guru beliau dalam bidang fekah.

Dipenjarakan kerana pegangan dan fahaman

Imam Ahmad ditangkap semasa pemerintahan Khalifah Al-Makmun bin Harun Ar-Rasyid kerana tidak setuju dengan fahaman Muktazilah yang mengatakan al-Quran itu makhluk.  Sedangkan al-Quran adalah kalamullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibrail.

Beliau dipenjara, disebat dan dirotan agar tunduk dengan fahaman Muktazilah. Pengganti Khalifah al-Makmun iaitu Khalifah al-Muktasyim yang juga berfahaman Muktazilah, terus memenjarakan Imam Ahmad.

Apabila Khalifah Al-Mutawakkil berkuasa, Imam Ahmad dibebaskan. Malahan, beliau menghadiahkan 10,000 dirham kepada Imam Ahmad. Wang itu diambilnya tetapi kemudian disedekahkan kepada fakir miskin.

Imam Ahmad ibnu Hanbal adalah contoh ulama yang tetap istiqamah tidak berganjak atas keyakinannya walaupun pelbagai siksaan dikenakan ke atasnya.

Latar belakang Imam Ahmad Ibnu Hanbali

Berkahwin pada usia 40 tahun dengan Abbasah binti al Fadhi dan dikurniakan anak bernama Soleh.  Selepas isterinya meninggal, beliau berkahwin dengan Raihanah dan mendapat seorang anak yang namanya Abdullah.

Selepas kematian Raihanah, berkahwin dengan Husn yang melahirkan Zainab dan al-Hasan dan al-Husin kembar yang meninggal selepas dilahirkan.  Kemudian mendapat Muhammad, al-Hassan dan Said.

Fizikalnya Imam Ahmad sederhana tinggi, suka memakai pakaian putih dan kainnya kasar tebal, memakai serban berlilit dan kain sarung lepas. Warna rambut dan janggut diwarnakan inai. Berkulit sawo matang dan kemerah-merahan.  Beliau kuat beribadat sehingga 300 rakaat solat sunat dilakukan setiap hari dan khatam al-Quran seminggu sekali.

Imam Ahmad ibnu Hanbal meninggal dunia di Baghdad pada pagi Jumaat 12 Rabiul Awal tahun 241 hijrah bersamaan 31 Julai 855 Masehi ketika berusia 77 tahun.  Seramai 1.3 juta bersolat atas jenazahnya termasuk khalifah dan tentera-tenteranya yang dahulu turut memukulnya.

Dikatakan tentera terpaksa memperbetulkan barisan jamaah yang bersolat dek terlalu ramainya.  Mengikut Tarjamatul Imam, lebih 860,000 orang menziarah semasa pengkebumiannya.

Kitab agung beliau yang menjadi rujukan adalah Musnad Ahmad bin Hanbal, buku mengenai pengumpulan hadis.  Karangan lain terdapat dalam Kitab-us-Salaat dan Kitab-us-Sunnah.