Imbasan Peristiwa-Peristiwa Penting Era Pramerdeka

Malaysian flag with dice test wrote "hari merdeka"

“Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!”

Sebanyak tujuh kali laungan “Merdeka” dilaungkan oleh Bapa Kemerdekaan negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertempat di Stadium Merdeka, tepat jam 9.30 pagi pada tanggal 31 Ogos 1957.

Laungan keramat itu menandakan Tanah Melayu akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan  setelah melalui pelbagai episod penjajahan zalim pihak luar serta kacau-bilau yang ditimbulkan oleh Parti Komunis Malaya.

Segala keringat, air mata dan darah para pejuang kemerdekaan serta rakyat Tanah Melayu yang gugur akhirnya terbalas apabila negara kita bebas daripada sebarang cengkaman penjajah.

Bayangkan jika anda berada pada waktu laungan kemerdekaan yang pertama itu dilakukan.

Semua kaum – Melayu, Cina atau India turut bersama-sama berkumpul dan menyaksikan kalimah keramat “Merdeka” dilaungkan tanpa ada sedikit pun perasaan perkauman dalam diri masing-masing.

Apa yang ada, adalah satu semangat cinta akan tanah air yang begitu berkobar-kobar, rasa kesyukuran dan kebebasan yang tidak pernah dikecapi sebelum itu.

Itu cerita rakyat Malaysia yang hidup pada zaman pramerdeka.

Apa pula cerita kita, rakyat yang hidup pada zaman Malaysia yang aman dan moden dengan nikmat kemerdekaan sedia ada ini?

Sebagai rakyat Malaysia yang lahir pada era pasca kemerdekaan, nikmat kemerdekaan negara yang telah kita kecapi ini seharusnya dipelihara sebaiknya agar ia tidak ‘diperkosa’ lagi oleh pihak luar yang berniat jahat.

Marilah kita renungkan segala pengorbanan dan jasa para pejuang kemerdekaan serta pemimpin-pemimpin terdahulu yang bersusah payah, bermati-matian sehingga ada yang gugur di medan perang demi untuk menjaga keamanan negara ini dan mendapatkan kebebasan untuk semua rakyat.

Nama-nama para pejuang yang bangkit menentang penjajah pada seawal zaman Dato’ Bahaman, Dato’ Maharajalela Lela, Mat Kilau, Tok Janggut, Dol Said, Rentap, Sharif Masahor, Mat Salleh dan Haji Abdul Rahman Limbong janganlah sesekali dilupakan.

Meskipun ada antara mereka yang menentang disebabkan oleh kepentingan sendiri, namun, apa yang penting adalah kita dapat lihat bahawa dari situ bermulanya kesedaran dalam kalangan penduduk Tanah Melayu untuk bangkit menentang kezaliman penjajah.

Negara ini adalah milik kita. Jangan sesekali menyerahkan kedaulatannya kepada pihak luar yang sentiasa berusaha untuk mencampuri urusan negara kita.

Justeru, bersempena dengan kedatangan tarikh keramat 31 Ogos, SalamToday ingin mengajak para pembaca untuk mengimbau kembali sejarah kemerdekaan negara.

Berikut kami senaraikan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada zaman pramerdeka agar kita semua dapat mengambil iktibar bagi memastikan sejarah lama tidak berulang.

 

Jepun menguasai Tanah Melayu

Jepun menguasai seluruh Tanah Melayu dan Singapura pada 15 Februari 1942. Ia menandakan kekalahan tentera British dan permulaan kepada zaman pemerintahan ketenteraan Jepun yang amat kejam di Tanah Melayu. Pada awal kemasukan Jepun, penduduk Tanah Melayu telah terpedaya dengan slogan ‘Asia Untuk Orang Asia’ yang ‘diperjuangkan’ oleh Jepun. Mereka sangkakan kemasukan tentera Jepun akan membawakan pembaharuan kepada negara ini. Namun, sebaliknya yang berlaku, tentera Jepun bersikap kejam, tidak berperikemanusiaan, mengamalkan propaganda dengan menjadikan bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar di sekolah selain lagu negara Jepun yang wajib dimainkan dan dihafal. Rakyat Tanah Melayu turut mengalami kekurangan makanan selain turut diseksa, dibunuh dengan kejam dan dipaksa membina landasan kereta api maut. Tentera Jepun akhirnya berundur dari Tanah Melayu pada 15 Ogos 1945 kesan peristiwa pengguguran bom atom di Hiroshima.

 

Penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union

Malayan Union yang dicadangkan penubuhannya pada 1 April 1946 merupakan sebuah gabungan Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat (tidak termasuk Singapura) bagi menggantikan British Malaya. Antara ciri-ciri Malayan Union adalah ia merangkumi 9 buah negeri termasuk Pulau Pinang dan Melaka, diketuai oleh seorang Gabenor Inggeris, pusat pentadbirannya adalah di Kuala Lumpur, kuasa raja-raja Melayu dihapuskan dan pengenalan kerakyatan Jus Soli. Ciri-ciri yang dilihat mampu menggugat kedudukan orang Melayu dan raja-raja Melayu ini telah menjadikan rasa benci terhadap penjajah British dalam kalangan orang Melayu semakin membuak-buak. Maka, para pemimpin Melayu dan orang Melayu secara besar-besaran bangun menentang penubuhan Malayan Union sehingga ia akhirnya tidak dapat dilaksanakan, dan digantikan dengan kerajaan Persekutuan Malaya.

Pilihanraya pertama Tanah Melayu

Plihanraya pertama di Tanah Melayu telah dijalankan pada tahun 1951 untuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan seterusnya pada tahun 1952 bagi Majlis Perbandaran Kuala Lumpur. Dalam pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur, Parti Perikatan (UMNO, MCA) telah berjaya memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Pilihanraya 1952 ini telah merintis kepada pilihanraya umum pertama bagi Tanah Melayu pada 27 Julai 1955 di mana UMNO, MCA dan MIC telah bergabung dalam Perikatan dan berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

 

Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957

Pada tahun 1956, Suruhanjaya Reid ditubuhkan bagi menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Dalam menggubal undang-undang tersebut, suruhanjaya telah mengambilkira pandangan keseluruhan penduduk Tanah Melayu. Satu rang perlembagaan diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 15 Ogos 1957 dan ia mula dikuatkuasakan pada 27 Ogos 1957. Antara kandungan utama Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah mewujudkan sebuah kerajaan persekutuan, ketua negara ialah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, ketua kerajaan ialah Perdana Menteri yang dilantik daripada parti yang mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat, kedudukan istimewa orang Melayu dikekalkan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta agama Islam adalah agama rasmi negara.

 

Pengisytiharan Kemerdekaan

Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai satu rombongan ke London untuk berunding dengan kerajaan Inggeris mengenai kemerdekaan Tanah Melayu, yang akhirnya berjaya mendapatkan tarikh kemerdekaan bagi Tanah Melayu – 31 Ogos 1957. Dan pada tarikh keramat tersebut, Tunku Abdul Rahman melaungkan laungan “Merdeka” sebayak tujuh kali di Stadium Merdeka dan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Jadi, berdasarkan peristiwa-peristiwa di atas yang diceritakan secara ringkas, terdapat banyak iktibar yang boleh kita ambil dan kita ingati agar sejarah lama tidak berulang kembali.

Cuba tanya pada diri sendiri.

Mahukah kita kembali berada pada zaman penjajahan tentera Jepun yang zalim, di mana kita hanya boleh menjamah ubi kayu yang direbus, anak-anak gadis sentiasa hidup dalam ketakutan kerana bimbang diperkosa oleh tentera Jepun atau kaum lelaki yang terdedah untuk dibunuh dengan kejam pada bila-bila masa sahaja?

Inginkah kita kembali berada pada zaman pemerintahan British, di mana para pemimpin dan raja-raja Melayu diperlakukan bagaikan orang suruhan pembesar British, hak dan keistimewaan orang Melayu dicampuri serta api kebencian antara sesama kaum dinyalakan sehingga berlakunya rusuhan kaum?

Peliharalah kemerdekaan dan keamanan negara yang kita kecapi pada hari ini.

Jangan membangkitkan api kebencian sesama kaum atau membuka pintu-pintu peluang kepada pihak luar yang sering mencuba untuk membatu apikan sesama kita dan memporak-perandakan kesejahteraan negara yang sedang kita nikmati.

Selamat Hari Merdeka, tanah airku Malaysia yang ke-62.

 

Rujukan: Arkib Negara Malaysia

Foto: Hamid Yassin (flickr), Horst Knemund, Lily Oh, Luciano Mortula, Mohd Hafiez Mohd Razali, Mohd Hilmi Sudin & Sean Pavone (123rf)