Impak sebenar minimalisme

Gaya 14 Mac 2021 Hannan
Terkini oleh Hannan
Impak sebenar minimalisme
Impak sebenar minimalisme © Mohamad Kaddoura | Dreamstime.com

Hidup secara minimalis, atau hidup dengan simple, bukanlah sesuatu yang baharu. Konsep yang memerlukan kita untuk ‘membebaskan diri daripada barang-barang’ ini sebenarnya telah lama wujud.

Menurut Joshua Fields Millburn dan Ryan Nicodemus, minimalisme merupakan satu alat yang kita boleh manfaatkan untuk mencapai kebebasan di dalam hidup.

Tambah mereka lagi, dengan membebaskan dari daripada semua barang-barang ini, kita dapat fokus kepada perkara yang benar-benar penting dalam kehidupan.

Minimalisme di dalam seni

Walau bagaimanapun, amalan ini tidak menjadi ikutan hinggalah pada abad yang ke-20, apabila penulis, juru gambar, arkitek dan artis mula mengenengahkan idea ini di dalam hasil kerja mereka. Menurut New York Times, gerakan minimalisme ini sebenarnya bermula di dalam dunia seni.

Tetapi, apakah maksud sebenar minimalisme? Adakah kita perlu hidup dengan barang yang sangat sedikit, barulah ia dikira sebagai minimalis?

Sebenarnya, sama seperti diet yang sihat, amalan minimalisme ini umpama satu ‘makanan’ yang baik untuk kehidupan. Dengan membiasakan hidup secara sederhana, kita dapat mengurangkan keterikatan emosi kita terhadap barang-barang yang dimiliki.

Secara tidak langsung, minimalisme dapat membantu anda untuk hidup lebih tenang dengan hanya dikelilingi oleh barang-barang yang penting dan mempunyai makna dalam kehidupan.

Hidup minimalis – kurang itu lebih

Ramai yang mengenali Marie Kondo daripada buku jualan laris beliau The Life-Changing Magic of Tidying Up. Beliau terkenal dengan kaedah KonMari yang membantu kita untuk ‘declutter’ atau mengurangkan item yang terdapat di dalam rumah.

Sama seperti Marie Kondo, duo daripada rancangan The Minimalists ini juga mempunyai visi yang lebih kurang sama.

Menurut Joshua Fields Millburn dan Ryan Nicodemus, orang zaman sekarang telah biasa mengaitkan jumlah barang dengan kekayaan yang dimiliki. Malah, tekanan untuk memenuhi status sosial masing-masing telah menyebabkan ramai bertindak berbelanja secara keterlaluan.

Mereka percaya lebih banyak barang itu lebih bagus. Malah, mereka juga terbiasa mengaitkan kegembiraan dengan pembelian barang. Akibatnya, mereka terus membeli untuk rasa gembira!

Tambah mereka lagi, ramai yang tidak sedar, semua barang yang kita miliki memerlukan masa, fokus dan tenaga kita. Namun, dengan melakukan minimalisme, kita boleh pilih barang apa yang boleh mempengaruhi emosi kita.

Sama seperti Marie Kondo, mereka juga menggalakkan agar kita menyimpan barang yang mempunyai fungsi tertentu dan membuatkan kita rasa gembira.

Dengan cara ini, kita mempunyai lebih banyak masa untuk fokus atas hubungan yang benar-benar bermakna dan belajar untuk bersyukur dengan apa yang ada.

Bebas dari kegilaan moden

Setiap hari, kita dapati diri kita tersangkut di dalam sebuah rutin yang gila. Kita selalu terburu-buru dan terlalu tertekan.

Ramai yang bekerja lebih masa hanya untuk membayar bil dan membeli banyak lagi barang-barang baharu yang hanya akan memakan lebih banyak ruang.

Stephanie Seferian, hos rancangan The Sustainable Minimalists telah berkongsi pandangannya terhadap gaya hidup minimalis di dalam podcast beliau. Menurutnya, minimalisme telah memberi impak yang lebih besar di dalam hidupnya.

Seferian bukan sahaja boleh mengekalkan keadaan rumah dalam keadaan bersih dah teratur, minimalisme juga telah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Lama-kelamaan, beliau merasakan hidupnya lebih tenang dan tidak lagi terburu-buru.

Minimalisme bukan sahaja boleh membantu anda untuk menjalani hidup yang lebih ringkas, ia juga dapat membantu anda menjimatkan lebih wang setiap bulan.