Indeks Daya Saing Bakat Global 2020 – Malaysia tempat ke 26

Dunia Syed Safri 16-Apr-2020
Malaysia, tangga 26 di GTCI2020 © Rolando Mayo | Dreamstime.com

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melaporkan, Malaysia telah menguasai beberapa kategori dalam pengiktirafan Indeks Daya Saing Bakat Global 2020 (GTCI 2020) di mana pembangunan bakat di Malaysia berada di kedudukan ke-26 daripada 88 negara. Tahun lalu, Malaysia berada di tempat ke-28.

Menurut MDEC, sebagai satu-satunya negara di antara kumpulan berpendapatan sederhana tinggi dalam kuartil teratas Indeks Daya Saing Bakat Global 2020 (GTCI 2020) , Malaysia mengatasi negara-negara ekonomi berpendapatan tinggi seperti China, Korea Selatan, Sepanyol dan Portugal. Laporan GTCI 2020 ini dihasilkan bersama oleh INSEAD University, Google dan Adecco, yang mengenal pasti dan mengukur prestasi bakat dunia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri, dari segi kedudukan prestasi, Malaysia dengan jelas telah meningkatkan kedudukannya dalam tonggak Kekal. Malaysia juga mendapat markah tinggi dalam tonggak Prestasi, Tarikan, dan Kemahiran Vokasional dan Teknikal. Ini telah disokong oleh usaha bersepadu dalam menambahbaik bakat teknologi digital dan meningkatkan tenaga kerja generasi akan datang di Malaysia.

Laporan GTCI 2020 turut memuji kemampuan luar biasa Malaysia yang berjaya menyesuaikan penawaran dan permintaan tenaga kerja secara tekal, lantas berada di kedudukan keenam dalam tonggak Kebolehpekerjaan. Kesemua tonggak ini adalah intipati terpenting pelaburan berterusan Malaysia dalam pembangunan bakat. Ia juga berperanan memperkukuhkan perniagaan dalam penggunaan teknologi baru dan usaha-usaha mengekalkan kesinambungan dan prestasi perniagaan.

Pencapaian ini terus menguatkan fakta bahawa Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha membina bakat digital yang sedia relevan untuk industri. Tenaga kerja harus terus diperluaskan dan persekitaran yang kondusif disediakan, agar inovasi digital dan kreativiti dapat berkembang maju. Paling utama, perniagaan sekarang memerlukan lebih banyak bakat apabila seluruh industri dijangka akan didigitalkan sebagai persediaan menghadapi ekonomi dunia yang meneroka norma baru di era pasca-COVID-19.