India kurangkan cukai import minyak kelapa sawit

Kehidupan MAS 01-Jan-2020
© Ravindran John Smith | Dreamstime.com

India bertindak mengurangkan cukai import ke atas minyak kelapa sawit mentah dan ditapis dari negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Perkara itu dibuat selepas terdapat permintaan daripada pembekal, menurut kenyataan kerajaan semalam.

Penurunan ini bakal mengundang kenaikan import minyak sawit yang lebih tinggi dari pembeli minyak makanan terbesar dunia itu. Hal demikian disebabkan jurang perbezaan harga yang kecil antara minyak kelapa sawit dan pesaing seperti minyak kacang soya dan minyak bunga matahari.

Import yang lebih tinggi akan menyokong harga minyak sawit Malaysia, yang meningkat 44% pada tahun 2019. Cukai ke atas minyak sawit mentah turun kepada 37.5% daripada 40%, sementara cukai ke atas minyak ditapis diturunkan kepada 45% daripada 50%.

Import minyak sawit ditapis dijangka melonjak dalam beberapa bulan akan datang. Ini berlaku apabila perbezaan antara cukai minyak sawit mentah dan minyak sawit ditapis mengecil kepada 7.5% daripada 10%. Menurut BV Mehta, struktur baru tersebut membuka lebih banyak ruang kepada import minyak sawit ditapis. Perkara berkenaan merugikan penapis tempatan, tambah Pengarah Eksekutif Persatuan Pengekstrak Pelarut (SEA) itu. SEA juga menuntut kerajaan India untuk mengekalkan perbezaan cukai antara minyak sawit mentah dan minyak sawit ditapis kepada 10%.

India bergantung kepada pasaran import untuk 70% daripada penggunaan minyak makanan, meningkat daripada 44 peratus pada 2001/02. Minyak sawit menyumbang hampir dua pertiga import minyak makanan India, kira-kira 15 juta tan. Import minyak sawit India jatuh 3% pada bulan November berbanding tahun lalu kepada paras terendah dalam 17 bulan.

Sementara itu, cukai import minyak kacang soya dan minyak bunga matahari kekal tidak berubah, menjadikan minyak kelapa sawit lebih kompetitif. India mengimport kacang soya dari Argentina dan Brazil manakala minyak bunga matahari dari Ukraine dan Rusia.