Industri kreatif perlukan suntikan agama

Seni Adea Ghafar
Pendapat oleh Siti Suriani Othman
Industri kreatif perlukan suntikan agama
Industri kreatif perlukan suntikan agama © Mohamad Ridzuan Abdul Rashid | Dreamstime.com

Artikel ini akan membincangkan status agama dalam industri kreatif dengan contoh utama dalam bidang nyanyian.

Industri kreatif dalam definisi Malaysia

Definisi industri kreatif dalam konteks Malaysia ialah “Penggembelengan dan penghasilan kebolehan dan bakat individu atau berkumpulan berasaskan kreativiti, inovasi dan teknologi.

Ia menjurus kepada sumber keberhasilan ekonomi dan pendapatan tinggi kepada negara dengan memberi penekanan kepada aspek karya dan hak cipta intelek, selaras dengan budaya atau nilai-nilai murni kepelbagaian kaum di Malaysia”

Dengan lain kata, industri kreatif dalam definisi tempatan ini merujuk kepada seni untuk ekonomi yang melibatkan individu-individu berbakat dan korporat yang memberi kesan kepada negara dalam konteks yang lebih luas iaitu menjana pendapatan negara dan mencerminkan imej negara.

Di manakah agama dalam industri kreatif?

Isu ini pernah dibincangkan secara ilmiah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang cuba membincangkan kedudukan agama dalam praktis industri kreatif. Diakui oleh beberapa pemain industri kreatif tempatan betapa kurangnya suntikan agama dalam industri ini pada zaman 70-an dan 80-an termasuklah industri persuratkhabaran, animasi dan sebagainya.

Namun, nyata Islam tidak pernah menghalang meraikan hasil seni dan menghargai industri kreatif. Islam adalah agama fitrah dan sesuai dengan fitrah manusia. Seni adalah sesuatu yang fitrah disukai manusia.

Kebolehan dan kemahuan manusia terlibat dalam aktiviti seni pula yang membezakan antara manusia dengan makhluk Tuhan yang lain. Namun, kebenaran meraikan dan terlibat dalam aktiviti kesenian kreatif ini ada batasnya dalam Islam. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.”

(Surah Al-a’raf, ayat 31)

Limitasi dalam meraikan seni bakat nyanyian

Khusus kepada kebenaran terlibat dalam seni suara misalnya. Nyanyian menjadi haram disebabkan oleh lima perkara iaitu penyanyi, alat muzik, susunan lirik, interpretasi pendengar terhadap nyanyian dan interpretasi orang awam. Selain itu, ada juga beberapa syarat lain yang perlu dipenuhi dalam memastikan nyanyian tidak menjadi haram hukumnya:

Niat yang tidak bercanggah dengan akidah dan syariat Islam. Juga aktiviti itu tidak melalaikan manusia terhadap kewajipan kepada Allah Taala dan sentiasa menutup aurat. Adab pergaulan juga perlu sentiasa dijaga dan tiada unsur perjudian serta pembaziran.

Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan kedudukannya, maka aktiviti kesenian diharuskan. Manusia harus mengambil peluang ini untuk menikmati satu bentuk nilai estetika yang bernilai dan berupaya menambah keyakinan kita kepada Allah SWT serta keagungan dalam ciptaannya.