Industri pelancongan terjejas akibat COVID-19

Kehidupan Hanita Hassan 01-Jun-2020
Melaka Bandaraya Bersejarah © Mikhail Mishchenko | Dreamstime.com

Sebelum pandemik COVID-19 menyelubungi dunia akhir disember 2019, industri pelancongan dunia berkembang pesat. Pakej-pakej pelancongan dan tiket tambang  rendah sentiasa habis terjual setahun lebih awal.  Ia seolah-olah menjadi satu trend baharu masyarakat bercuti ke luar negara untuk meningkatkan momentum diri setelah penat bekerja.

Hari ini setelah hampir lima bulan penularan pandemik COVID-19 banyak pemilik pusat pelancongan dalam dan luar negara yang terpaksa mengambil keputusan menutup premis masing-masing.  Hal ini turut menjejaskan pemain dalam industri ini terutama yang bekerja dengan syarikat penerbangan dan perhotelan.

Industri pelancongan adalah antara penyumbang utama kepada pendapatan Malaysia iaitu 15.3% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara.  Sehingga Februari 2020,  Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM3.37 bilion akibat pembatalan pakej-pakej pelancongan.

Negeri Melaka yang merupakan negeri pelancongan turut terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.  Sektor pelancongan  adalah penyumbang terbesar dalam KDNK Negeri Melaka. Pelancong domestik meliputi 60% daripada keseluruhan pelancong yang datang ke Melaka.

Pada tahun 2018, sejumlah 17.02 juta pelancong direkodkan melawat Melaka.  Sehingga September 2019, sejumlah 13 juta pelancong telah melawat Melaka dan dijangka angka ini akan bertambah mengatasi jumlah pelancong   tahun 2018 walaupun gagal mencapai sasaran 20 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

Banyak faktor yang menjadi tarikan pelancong di Melaka dan antaranya Melaka merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO yang diiktiraf sejak 7 Julai 2008. Melaka juga berjaya mengekalkan warisan sejarah tinggalan Portugis, Belanda, Jepun dan British dan memulihara budaya ketara dan tidak ketara pelbagai etnik sehingga ke hari ini.

Beberapa buah hotel berjenama besar di Melaka telah mengumumkan penutupan  operasi masing-masing kerana tidak mahu menanggung kerugian yang lebih besar akibat ketiadaan pelanggan. Berita baiknya ialah Melaka berhasrat menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja dalam industri pelancongan selepas wabak COVID-19 berakhir.

Pulau Langkawi iaitu pulau yang terkenal dengan jolokan pulau bebas cukai juga turut terjejas.  Kawasan pelancongan muram, kosong serta tiada sebarang aktiviti. Pantai Chenang yang sentiasa sibuk dengan aktiviti sukan air dan bersantai di pantai juga menjadi lengang.

Ketiadaan pelancong ke pulau ini telah menjejaskan pendapatan pemandu pelancong sepenuh masa dan juga pemandu pelancong bebas yang bertugas sebagai duta kecil yang bergantung sumber pendapatan dengan kehadiran pelancong.

Mereka yang terjejas terpaksa beralih kepada sumber pendapatan lain seperti e-hailing dan perniagaan dalam talian walaupun ia masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian.

Jelas, industri pelancongan akan kekal terjejas kerana pandemik COVID-19 disebarkan secara langsung antara manusia atau melalui sentuhan pada permukaan yang telah tercemar melalui titisan cecair daripada hidung dan mulut, terutamanya bila pesakit bersin atau batuk.

Semoga apa yang berlaku di zaman normal baharu ini akan menjadikan kita insan yang lebih baik daripada semalam. Jaga kebersihan diri, ayuh kita terus jauhkan jarak dan putuskan rantaian pandemik COVID-19.