Ingat lima perkara sebelum datang lima perkara

Ingat 5 perkara sebelum datang 5 perkara © Odua | Dreamstime.com

“Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian melainkan yang beriman dan beramal soleh.

Demi masa sesungguhnya manusia kerugian melainkan nasihat kepada kebenaran dan kesabaran.

Gunakan kesempatan yang masih diberi moga kita tidak akan menyesal.

Masa usia kita jangan disiakan kerana ia tidak akan kembali.

Ingat lima perkara sebelum lima perkara:

Sihat sebelum sakit,

Muda sebelum tua,

Kaya sebelum miskin,

Lapang sebelum sempit,

Hidup sebelum mati.”

Lirik lagu di atas nyanyian daripada kumpulan nasyid Raihan yang bertajuk ‘Demi Masa’ cukup jelas memberikan peringatan kepada sesama Muslim untuk memanfaatkan masa hidup di dunia. Agar tidak terleka dunia dengan berpegang kepada lima perkara sebelum datangnya lima perkara.

Jangan kita terlalu leka dengan keseronokan dunia yang merupakan pinjaman sementara Allah SWT kepada hamba-Nya. Mengapa kita perlu memanfaatkan lima perkara sebelum datangnya lima perkara ini dalam hidup kita?

Sihat sebelum sakit

Waktu diberikan kesihatan yang baik inilah perlu kita gunakan sebaik mungkin untuk mengerjakan amal ibadah kepada Allah SWT. Kerana ketika ini, kudrat yang kita miliki masih kuat. Jika datangnya sakit, kekuatan kita sudah berkurang dan tidak berdaya untuk beribadah dengan sempurna. Namun, ramai di antara kita kini ketika sihatnya bekerja seolah-olah tiada hari esok, hingga lalai atau terus meninggalkan ibadah yang diwajibkan.

Muda sebelum tua

Ketika di usia yang masih muda, ingatlah untuk sentiasa menjaga perilaku dan menjaga maruah diri. Lakukan perintah yang Allah SWT suruh, elak daripada perkara yang Allah larang. Jangan ikutkan kata hati jika tidak binasa diri. Lakukan kebaikan dengan sentiasa berbuat baik sesama insan dan bukan meninggi diri menunjukkan kehebatan.

Kaya Sebelum Miskin

Manfaatkan lebihan rezeki yang kita ada untuk bersedekah. Tidak rugi kita berkongsi rezeki dengan orang lain yang kurang berkemampuan. Jangan berkira untuk menjadi tangan yang memberi kerana tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Allah SWT sangat memuliakan orang-orang yang suka bersedekah.

Lapang sebelum sempit

Gunakanlah masa lapang yang terluang dengan melakukan perkara-perkara berfaedah dan mengingati Allah SWT. Berdepan dengan kecanggihan dunia teknologi menjadikan kita sentiasa sibuk dengan perkara-perkara remeh dan tidak penting. Jika tersilap langkah boleh menyebabkan kita membuang masa setiap hari. Salah satu cara terbaik adalah menggunakan masa lapang dengan beriadah bersama keluarga. Malah hubungan kekeluargaan juga menjadi semakin erat.

Hidup sebelum mati

Kehidupan kita ini terlalu singkat kerana dunia ini hanya sementara dan tiada yang hakiki. Sebaiknya, manfaatkan kehidupan dengan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT dan sedaya upaya untuk memperbaiki diri kearah kebaikan. Mati tidak pernah mengenal usia. Tua dan muda jika sudah sampai masanya maka tinggallah dunia ini.

Banyak iktibar yang boleh diambil dengan sentiasa mengingati lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Jadikan lima perkara ini sebagai kayu ukur sepanjang kehidupan agar tidak tersasar daripada landasan yang benar. Semoga diri kita sentiasa dirahmati dan dilindungi oleh Allah SWT.