Ini adab berdoa dalam Islam

Doa Aimy Azhary
Terkini oleh Aimy Azhary
Ini adab berdoa dalam Islam
Ini adab berdoa dalam Islam © Mohd Safwan Abd Rahmman | Dreamstime.com

Doa merupakan senjata orang beriman, dan ia merupakan tanda kebergantungan kita kepada Allah SWT. Sekiranya kita mempunyai sesuatu tuntutan kepada syarikat atau orang kenamaan, pasti kita akan mengikut prosedur dan protokol tertentu. Begitu juga dengan doa – ada adab berdoa dan etikanya yang khusus.

Islam mengajarkan beberapa adab berdoa kepada Allah Taala yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan. Islam tidaklah sampai ke tahap mewajibkan adab-adab ini, namun ia menjadi bukti kesungguhan kita untuk memohon sesuatu dan ketekunan kita dalam membudayakan rutin-rutin para anbia dan orang soleh.

Orang yang benar-benar mendambakan cinta Ilahi pasti tidak akan berkira-kira untuk menunjukkan kesungguhan kepada kekasihnya.

Etika dan adab berdoa

Antara perkara sunat sebelum kita berdoa ialah berwuduk dan menghadap kiblat. Doa tersebut hendaklah dimulakan dan ditutup dengan pujian kepada Allah SWT serta selawat kepada Baginda Rasulullah SAW.

Selain itu, Imam Ghazali menyatakan pendapatnya dalam Ihya’ Ulum Ad-Din, bahawasanya sunat memulakan doa dengan menyebut:

سُبٍْحَانَ رَبِّيَ العَلِيِّ الأَعْلَى الوَهَّاب

“Maha suci Tuhanku yang Tinggi, Maha Tinggi lagi Maha Memberi.”

Kita hendaklah memulakan doa kepada diri sendiri dahulu, dan perkara pertama yang harus dipohon adalah keampunan daripada Allah SWT. Apa gunanya rezeki yang melimpah jika kita masih berada dalam ancaman kemurkaan Allah atas dosa yang dilakukan.

Ini bertepatan dengan firman Allah Taala dalam surah Muhammad, ayat 19:

“Dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan.”

Ayat ini menunjukkan saranan kepada kita agar berdoa mendahulukan diri sendiri sebelum orang lain. Setelah itu, orang pertama sekali yang perlu kita doakan adalah ibu bapa kita, kemudian ahli keluarga kita dan diakhiri dengan umat Islam seluruhnya.

Doa membalas kezaliman

Kita diharuskan berdoa sekiranya kita dizalimi. Anas bin Malik r.a meriwayatkan sabda Nabi Muhammad SAW:

“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Walaupun begitu, para ulama menetapkan agar doa tersebut tidak melampaui had kezaliman yang dilakukan. Oleh itu, tidak digalakkan berdoa supaya orang yang merampas harta kita  ditarik nyawanya, bahkan cukuplah mengatakan “Ya Allah, aku berserah kepada engkau akan balasan buruk ke atasnya.”

Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 194:

“Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu.”

Sebagai penutup, antara doa yang paling banyak dibacakan oleh Rasulullah SAW menurut Anas bin Malik r.a ialah:

” ربَّنا آتِنا في الدنيا حسنةً، وفي الآخِرةِ حسنةً، وقِنا عذابَ النارِ

“Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.