Ini adalah Hari Malaysia kita!

dreamstime_s_75882327
Selamat Hari Malaysia! © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan, agama dan budaya. Dalam suasana pandemik, Malaysia masih terkenal di peringkat antarabangsa, apabila dinobatkan antara negara yang dapat mengatasi masalah COVID-19. 16 September adalah cuti umum yang bermula pada tahun 2010. Ia juga dipanggil dengan ‘Hari Malaysia’.

Peristiwa yang berlaku pada hari ini adalah untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia yang menggabungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Pada asalnya ianya dirancang akan berlaku pada 1 Jun 1963. Namun, terdapat beberapa bantahan daripada Indonesia dan Filipina tentang perishtiharan ini. Selain daripada itu, pungutan suara perlu diambil di kalangan penduduk di Borneo Utara (Sabah) untuk persetujuan penubuhan. Hal ini menyebabkan pengisytiharan tertangguh sehingga 16 September.

YB Dato’ Saifuddin Abdullah yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyatakan bahawa tema Hari Malaysia ialah ‘Malaysia Prihatin’. Bersempena dengan musim COVID-19, Malaysia perlu menerapkan rasa prihatin terhadap semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Semua yang berada di barisan hadapan atau front liners berganding tenaga memberikan rawatan kepada rakyat Malaysia, demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan rakyat. Prihatin juga merangkumi ekonomi, kebajikan dan semua kelangsungan hidup.

Logo yang dipilih adalah berbentuk hati beserta jalur bendera Malaysia. Ia melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang berbilang kaum dan budaya. Tema dan logo yang sama juga telah digunakan pada sambutan Hari Merdeka yang lalu.

Pada hari ini, apakah sumbangan kita kepada tanah air kita?

  • Pada musim pandemik ini, kita perlulah berwaspada dan mengikut arahan yang disarankan oleh kerajaan. Iaitu dengan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan dengan menggunakan sabun.
  • Walaupun pelbagai dugaan yang menimpa iaitu sebahagian daripada kita diberhentikan kerja atau perniagaan yang merudum, namun pihak kerajaan menyediakan beberapa insentif kepada rakyat, seperti pinjaman wang perniagaan dan pemberian moratorium.
  • Kita perlulah bijak menggunakan peluang yang ada dengan menjalankan perniagaan atas talian menggunakan platform yang betul.
  • Sebagai tenaga pengajar, menjadikan platform media sosial untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PnP) seperti melalui Zoom, Microsoft Teams, Google Meet, YouTube dan sebagainya.
  • Mematuhi setiap arahan yang diberikan juga merupakan sumbangan kita terhadap tanah air.

Justeru, kita perlulah berasa bangga dan bersyukur kerana menjadi rakyat Malaysia. Semoga Malaysia terus aman dan makmur senantiasa.