Ini buktinya Islam agama kedamaian, bukan agama keganasan

Pendidikan Md Wa'iz
Pendapat oleh Md Wa'iz
Ini buktinya Islam agama kedamaian, bukan agama keganasan
Ini buktinya Islam agama kedamaian, bukan agama keganasan © Jefferyi | Dreamstime.com

Islam pada masa kini berada pada satu sudut yang sering dikaitkan dengan isu-isu keganasan. Agama Islam sering dipandang serong sebagai agama yang ganas dan cenderung kepada huru-hara.

Sebagai umat Islam, bagaimana kita ingin menyatakan bahawa Islam agama kedamaian?

Islam lebih cenderung kepada perdamaian

Ajaran Islam sendiri mengajar umatnya agar memilih kedamaian berbanding perbalahan dalam sesuatu perkara. Allah SWT ada berfirman yang bermaksud:

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Al-Quran, Surah Al-Anfal, ayat 61)

Ayat di atas menerangkan bagaimana Allah Taala menyuruh hambanya mendahulukan perdamaian berbanding permusuhan. Perdamaian adalah satu bentuk ketaqwaan dalam agama Islam.

Kita boleh melihat bagaimana Rasulullah SAW hanya menyerang kaum Musyrikin yang menentang dan menyerang orang-orang Islam. Rasulullah tidak akan menyerang musuh yang telah menyerah kalah apatah lagi orang-orang bukan Islam yang tidak bersalah.

Islam agama kedamaian, membunuh satu dosa besar

Islam amat mencela perbuatan membunuh kecuali dalam situasi untuk menegakkan keadilan dan menentang kejahatan. Ini kerana perbuatan membunuh adalah satu kezaliman yang jelas kerana ia telah mengambil hak seorang manusia untuk hidup di muka bumi.

Nikmat nyawa itu adalah salah satu nikmat yang terbesar diberikan oleh Allah SWT kepada manusia. Oleh kerana itu, dosa membunuh termasuk dalam salah satu dosa-dosa besar.

Allah Taala berfirman yang bermaksud:

“Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya…”

(Al-Quran, Surah Al-Maidah, ayat 32)

Ada yang yang nyatakan Islam tersebar melalui kekerasan

Ada juga yang menyatakan bahawa agama Islam disebarkan melalui kekerasan dan peperangan bagi menafikan Islam agama kedamaian. Perkara ini ternyata tidak benar dan tidak tepat.

Kita boleh melihat kepada sejarah pemerintahan Dinasti Umayyah di Sepanyol yang telah memerintah hampir 800 tahun. Walaupun Dinasti Umayyah memerintah Sepanyol ratusan tahun lamanya, mereka tidak pernah memaksa golongan bukan Islam untuk memeluk agama Islam.

Sebaliknya, sewaktu tentera Salib menawan Sepanyol daripada kerajaan Islam, ramai orang Islam dipaksa menukarkan agama mereka kepada Kristian. Malah, ramai juga orang Islam yang dibunuh kerana mempertahankan akidah mereka.

Begitu juga dengan tanah air kita Malaysia dan juga negara jiran Indonesia. Majoriti penduduk di Malaysia adalah penganut agama Islam. Negara Indonesia pula adalah sebuah negara dengan jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia iaitu sekitar 225 juta orang.

Islam agama kedamaian, menyeru kepada ketenangan

Namun, pernahkah kita mendengar bahawa tentera Islam telah datang ke Tanah Melayu dan Nusantara untuk menjajah dan menyebarkan agama Islam? Tidak sama sekali. Agama Islam di kepulauan Melayu dan Nusantara ini tersebar melalui jalan perdagangan.

Sebaliknya, pihak Portugis dan Belanda telah datang ke Nusantara bukan sahaja untuk menjarah hasil bumi, tetapi juga menyebarkan agama Kristian melalui penaklukan dan penjajahan.

Jika kita ingin melihat kepada logik Islam tersebar melalui mata pedang, jelas sekali pihak bukan Islam yang lebih banyak melakukan hal tersebut. Oleh itu, dapatlah kita simpulkan bahawa agama Islam bukanlah agama keganasan seperti yang didakwa.

Islam agama kedamaian kerana ia sering menyeru kepada perdamaian dan ketenangan. Nama Islam itu sendiri bermaksud selamat dan sejahtera, membuktikan bahawa Islam agama kedamaian.