Ini cara zakat fitrah ditentukan setiap tahun

Zakat Md Wa'iz 26-Sep-2020
dreamstime_xs_140461126
Ini cara zakat fitrah ditentukan setiap tahun © Ababil12 | Dreamstime.com

Pada bulan Ramadan, orang Islam akan mencari sedikit kesempatan bagi menunaikan tanggungjawab mereka membayar zakat fitrah. Ia adalah kewajipan yang mesti dilakukan oleh setiap orang Islam yang berkemampuan setiap tahun.

Namun, adakah anda tahu bagaimana kadar zakat fitrah itu ditentukan setiap tahun?

Bagaimana kadar zakat fitrah ditentukan?

Jenis zakat fitrah yang wajib dikeluarkan mestilah berdasarkan kepada jenis makanan ruji atau asasi penduduk di sesebuah tempat tersebut. Penduduk di Malaysia ini menjadikan beras sebagai makanan utama.

Tetapi, memandangkan kita tidak lagi membayar zakat dalam bentuk fizikal beras tersebut, kita perlulah membayarnya dalam bentuk tunai yang mempunyai nilai yang sama dengan nilai beras yang perlu dizakatkan.

Nilai zakat fitrah yang perlu dikeluarkan bagi seorang individu atau tanggungan adalah bersamaan dengan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.60 kilogram.

Tetapi mengapa nilai di setiap negeri di Malaysia berbeza? Ini disebabkan oleh nilai bagi kadar yang ditetapkan ini boleh berubah dari semasa ke semasa. Ia bergantung kepada harga beras yang dimakan oleh majoriti penduduk Islam di sesebuah negeri tersebut.

Ia juga bergantung kepada jenis dan gred beras terbabit setelah dinilai harga semasanya oleh Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri berkenaan.

Siapakah golongan yang wajib membayar zakat fitrah?

Berpandukan hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60, muzakarah telah menyatakan bahawa zakat fitrah akan menjadi wajib bagi mereka yang melengkapi syarat-syarat seperti berikut:

  1. Individu tersebut masih mempunyai lebihan makanan atau harta pada malam dan juga pagi hari raya. Lebihan ini turut mengambil kira lebihan daripada keperluan tanggungannya yang lain
  2. Mempunyai anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenamnya matahari tersebut
  3. Seorang yang memeluk Islam sebelum terbenamnya matahari pada hari terakhir bulan Ramadan dan mengekalkan keislamannya
  4. Seorang individu yang meninggal dunia selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir bulan Ramadan.

Antara kelebihan kita mengeluarkan zakat fitrah adalah bagi menampung kekurangan yang mungkin berlaku ketika berpuasa Ramadan. Zakat fitrah berperanan sebagai penampung kepada sebarang kekurangan yang mungkin telah berlaku ketika kita berpuasa tanpa kita sedari.

Selain daripada itu, zakat fitrah juga bertindak sebagai satu sedekah untuk mereka yang kurang berkemampuan selain menggembirakan mereka ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.