Ini enam jenis makanan berbuka puasa yang patut anda makan dan elak

Kesihatan 17 Apr 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Ini enam jenis makanan berbuka puasa yang patut anda makan dan elak
Ini enam jenis makanan berbuka puasa yang patut anda makan dan elak © Odua | Dreamstime.com

Ketika berpuasa, kita sering memikirkan mengenai pelbagai menu enak yang ingin dimakan sewaktu berbuka puasa. Ada beberapa jenis makanan berbuka puasa yang sangat disarankan untuk dimakan ketika berbuka.

Jenis makanan yang disarankan ini adalah sebagai panduan berbuka puasa anda yang lebih sihat.

Adakah penting untuk mengetahui jenis makanan berbuka puasa?

Memandangkan anda telah berpuasa selama hampir 13 jam, maka apa yang anda akan makan kelak adalah sangat penting untuk diperhatikan.

Apabila seseorang itu berbuka puasa, paras gula atau glukosa darah akan meningkat kembali. Tubuh badan anda akan menggunakan gula yang diserap sebagai sumber tenaga berbanding lemak tubuh yang digunakan sebelum ini.

Oleh kerana itu, amatlah penting untuk mengambil jenis makanan berbuka puasa yang sesuai dengan keperluan tubuh ketika berbuka.

Apakah jenis makanan berbuka puasa yang sesuai?

Memandangkan perut anda masih kosong sebelum berbuka puasa, maka anda mestilah mengambil jenis makanan yang mudah dihadam untuk mengelakkan masalah penghadaman.

Untuk panduan jenis makanan berbuka puasa yang betul, anda boleh melihat kepada senarai di bawah ini:

  1. Minuman: saat anda mula berbuka puasa, adalah lebih baik untuk anda meminum air terlebih dahulu. Ini bertujuan untuk mengembalikan hidrasi tubuh yang sudah kekurangan air. Anda boleh meminum sama ada susu atau jus buah-buahan kerana ia mengandungi nutrien dan kandungan gula semula jadi. Elakkan penggunaan gula tambahan dalam minuman anda bagi mengelakkan pertambahan kalori.
  2. Buah kurma: memakan buah kurma sebagai makanan berbuka puasa pertama merupakan sunnah yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Buah kurma merupakan jenis makanan yang terbaik kerana ia mempunyai kandungan gula semula jadi yang boleh memberikan tenaga segera kepada tubuh badan. Selain itu, kurma juga mengandungi pelbagai jenis mineral yang sangat bermanfaat untuk tubuh.
  3. Sup: walaupun pengambilan sup ketika berbuka puasa bukanlah satu budaya bagi masyarakat Islam di Malaysia, namun ia juga adalah kaedah yang baik ketika berbuka. Sup boleh membantu mengembalikan jumlah air dalam tubuh. Selain itu, pengambilan sup ketika awal berbuka boleh menyebabkan perut kenyang dengan lebih cepat. Ini boleh membantu anda untuk makan dengan lebih sedikit dan mengelakkan pengambilan kalori secara berlebihan.

Jenis makanan yang perlu dielakkan sewaktu berbuka puasa

Selain daripada jenis makanan yang patut anda ambil, anda juga perlu mengetahui jenis makanan yang perlu anda elakkan ketika berbuka.

Berikut adalah beberapa jenis makanan yang perlu anda elakkan:

  1. Makanan pedas: cuba elakkan pengambilan makanan yang pedas atau mengandungi cili yang banyak sewaktu berbuka. Perut yang masih kosong tidak sesuai untuk menerima makanan yang pedas kerana ia bersifat merengsa dan boleh menyebabkan keradangan.
  2. Makanan atau minuman bergas: makanan yang bergas boleh menyebabkan ketidakselesaan ketika anda berbuka puasa. Anda berpotensi untuk mengalami masalah kembung perut.
  3. Buah-buahan masam: buah-buahan yang masam seperti limau mempunyai kandungan asid buah. Jika buah yang masam ini dimakan ketika perut kosong sewaktu berbuka puasa, ia boleh menyebabkan pedih ulu hati. Ia juga boleh menyebabkan risiko gastritis dan ulser gastrik.

Bulan Ramadan bulan merehatkan perut anda

Ramadan ialah bulan terbaik untuk anda menjaga kesihatan diri anda melalui pemakanan. Bulan Ramadan memberikan perut anda masa untuk ia berehat seketika.

Oleh itu, amalkan jenis diet yang sihat sepanjang Ramadan ini agar tubuh anda kekal aktif dan sihat.