Ini fakta yang anda perlu tahu tentang populasi muslim di Amerika Syarikat

Amerika Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Ini fakta tentang populasi muslim di Amerika Syarikat
Ini fakta tentang populasi muslim di Amerika Syarikat (foto: Makanan halal di Manhattan, NYC) © Deanpictures | Dreamstime.com

Tahukah anda, walaupun Islam sering dimomokkan dengan pelbagai tanggapan yang buruk, ia adalah agama ketiga terbesar di Amerika Syarikat. Malah, ada beberapa bandar di Amerika Syarikat yang didominasi oleh penduduk yang beragama Islam.

Ikuti sejarah ringkas Islam di Amerika Syarikat melalui artikel ini.

Sejarah awal kedatangan Islam di Amerika Syarikat

Tidak dapat dipastikan dengan begitu tepat bilakah Islam mula tiba di tanah Amerika Syarikat ini. Namun, kebanyakan ahli sejarawan berpendapat bahawa Islam telah tiba di Amerika Syarikat sejak awal abad ke-16.

Kelompok Muslim terawal yang tiba di Amerika Syarikat adalah mereka yang terdiri daripada golongan hamba. Namun, kebanyakan daripada Muslim ini telah dipaksa untuk menukarkan agama mereka kepada agama Kristian.

Pada abad ke-18, sejumlah 500,000 orang hamba telah dibawa masuk ke Amerika Syarikat dari benua Afrika. Dianggarkan sekitar 15% hingga 30% daripada golongan hamba ini adalah mereka yang beragama Islam.

Islam di Amerika Syarikat pada abad ke-20

Pada abad ke-20, masih ada lagi proses migrasi orang-orang Islam ke Amerika Syarikat. Namun, proses migrasi ini bukanlah kerana sebab perhambaan atau secara besar-besaran.

Pada abad ini, proses migrasi orang Islam ke Amerika Syarikat hanya berlaku dalam skala yang kecil dan kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang Turki dan juga Yaman. Kesemua mereka ini telah datang ke Amerika Syarikat untuk menjalankan perniagaan sahaja dan kembali semula ke negara asal mereka.

Namun, disebabkan oleh kegawatan ekonomi yang berlaku pada abad ke-19, Kerajaan Amerika Syarikat telah menghalang imigran ini daripada pulang membawa kekayaan perniagaan ke negara asal mereka.

Dengan itu, ramai daripada imigran Muslim ini mengambil keputusan untuk terus menetap di Amerika Syarikat.

Populasi orang Islam di Amerika Syarikat kini

Kini, jumlah orang Islam di Amerika Syarikat sudah semakin berkembang. Kajian yang dilakukan pada tahun 2015 menunjukkan bahawa, terdapat sekitar 3.3 juta Muslim yang menetap di Amerika Syarikat.

Jumlah ini mewakili sekitar 1% daripada jumlah keseluruhan penduduk Amerika Syarikat. Berikut adalah tiga bandar di Amerika Syarikat dengan jumlah penduduk Muslim tertinggi:

  • New York City: Merupakan bandar paling tinggi jumlah penduduk Muslim. Dianggarkan sekitar 70,000 orang Islam berada di bandar ini.
  • Dearborn, Michigan: Dianggarkan memiliki sekitar 30,000 orang Islam yang menetap di sini
  • Los Angeles: Dianggarkan sekitar 25,000 Muslim menetap di Los Angeles

Kajian buktikan Islam makin berkembang di bumi Uncle Sam

Satu kajian ada menyatakan bahawa, menjelang tahun 2050, agama Islam akan menjadi agama kedua terbesar di Amerika Syarikat selepas agama Kristian. Dijangkakan jumlah keseluruhan Muslim di Amerika Syarikat pada waktu itu akan mencapai 2.1%.

Mengapa jumlah penduduk Muslim dijangka akan bertambah? Menurut kajian tersebut, ini kerana secara puratanya wanita Muslim mempunyai lebih ramai anak berbanding wanita agama lain.

Perkara ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Kerana antara tahun 2010 hingga 2015, 31% daripada jumlah keseluruhan bayi yang dilahirkan di dunia adalah daripada pasangan Muslim.

Bukan itu sahaja, agama Islam juga mempunyai pengikut dengan purata umur yang lebih muda berbanding pengikut agama-agama lain. Faktor-faktor inilah yang menjadikan Islam sebagai agama yang berkembang paling pantas bukan sahaja di Amerika Syarikat, malah di dunia.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.