Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Ini hukum menjawab panggilan ibu bapa ketika sedang solat

Keluarga 25 Nov 2020
Ini hukum menjawab panggilan ibu bapa ketika sedang solat
Menjawab panggilan ibu bapa ketika sedang solat © Suffieann Suatau | Dreamstime.com

Apakah yang akan anda lakukan sekiranya ibu bapa memanggil anda ketika anda sedang menunaikan solat? Adakah panggilan ibu bapa tersebut perlu dijawab atau anda diwajibkan untuk terus menunaikan solat?

Insya-Allah, artikel ini akan memberikan penjelasan mengenai persoalan di atas.

Ini hukum menjawab panggilan ibu bapa ketika sedang solat

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, melalui penerbitan Irsyad Al-Fatwa siri ke-375 ada menjelaskan mengenai isu ini. Menurut penerbitan tersebut, Allah Taala ada berfirman dengan maksud seperti berikut:

“Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu.”

(Al-Quran, Surah Muhammad, ayat 33)

Melalui ayat Al-Quran ini, para jumhur ulama’ berpendapat bahawa seseorang itu tidak boleh membatalkan akan memberhentikan ibadatnya dengan sengaja tanpa sebab yang wajar atau sebarang keuzuran.

Dalam soal menjawab panggilan ibu bapa sewaktu sedang solat, kita boleh melihat kepada satu cerita berdasarkan riwayat hadis sahih yang diriwayatkan oleh Humaid. Menurut Humaid, ada seorang lelaki bernama Juraij yang sangat kuat beribadah ketika hidupnya.

Pada suatu hari, ibu Juraij datang kepadanya ketika mana dia sedang bersolat sunat. Ketika itu, ibunya memanggil Juraij dan menyeru Juraij untuk bercakap dengannya. Juraij yang pada ketika itu sedang bersolat telah berbisik di dalam hati bahawa ibunya sedang memanggilnya tatkala dia sedang khusyuk bersolat.

Namun, Juraij meneruskan solatnya sehinggalah ibunya datang untuk kali yang kedua dan memanggilnya lagi. Sekali lagi, Juraij meneruskan solatnya dan tidak menyahut panggilan ibunya.

Ibunya lantas berdoa kepada Allah SWT dengan mendoakan Juraij agar digoda oleh pelacur disebabkan Juraij tidak menyahut panggilan ibunya. Dengan izin-Nya, Allah memakbulkan doa ibunya tersebut.

Menurut Imam Nawawi, para ulama’ berpendapat bahawa Juraij sepatutnya mendahulukan ibunya dengan menjawab panggilan tersebut.

Ini kerana solat yang dilakukannya itu hanyalah solat sunat, dan hukum meneruskan solat sunat hanyalah sunat dan bukannya wajib. Menyahut panggilan dan seruan ibu bapa pula adalah wajib, dan haram untuk kita mengabaikan panggilan mereka.

Pandangan di sisi mazhab Syafie

Berdasarkan pandangan Ibn Hajar Al-’Asqalani, kita diharuskan membatalkan solat tidak kira solat fardhu atau solat sunat bagi menyahut panggilan ibu dan bapa. Dan ini merupakan salah satu daripada pandangan yang diterima dalam mazhab Syafie.

Ada pendapat yang lebih tepat dalam kalangan ulama mazhab Syafie yang menyatakan, jika ibu bapa memanggil kita ketika kita sedang melakukan solat sunat, adalah wajib untuk menyahut panggilan tersebut dan memberhentikan solat.

Ini bertujuan mengelakkan ibu bapa kita daripada terasa hati dengan perlakuan kita.

Haram berhenti solat fardhu, harus menghentikan solat sunat

Dapat disimpulkan di sini bahawa, kita diharamkan untuk menghentikan solat fardhu bagi menjawab panggilan ibu bapa melainkan ia adalah panggilan yang bersifat darurat atau kecemasan.

Bagi solat sunat pula, kita boleh menghentikannya jika risau ibu bapa akan berkecil hati jika tidak menjawab panggilan mereka. Namun jika panggilan tersebut tidak begitu penting, atau ibu bapa anda tidak akan terasa hati, anda boleh meneruskan solat sunat tersebut.