Ini jenis zakat emas yang perlu dikeluarkan – termasuk emas perhiasan

Zakat 15 Feb 2021 Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Ini jenis zakat emas yang perlu dikeluarkan - termasuk emas perhiasan
Ini jenis zakat emas yang perlu dikeluarkan - termasuk emas perhiasan © Sigoisette | Dreamstime.com

Emas merupakan salah satu daripada harta yang boleh berkembang nilainya. Emas digunakan sebagai mata wang, perhiasan dan pelbagai kegunaan lain. Disebabkan faktor nilainya, emas diwajibkan untuk dikeluarkan zakat.

Apakah jenis emas yang perlu dikeluarkan zakat emas?

Kewajipan mengeluarkan zakat emas

Zakat emas merupakan salah satu daripada jenis zakat yang telah diwajibkan oleh Allah Taala. Kewajipan mengeluarkan zakat emas ini telah tertulis dalam ayat Al-Quran, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Al-Quran, surah at-Taubah, ayat 34)

Jenis zakat emas yang perlu dikeluarkan

Terdapat beberapa jenis emas yang perlu dikeluarkan zakatnya setelah mencukupi haul (tempoh masa) dan nisab (jumlah).

1. Emas yang dipakai sebagai perhiasan

Hukum asal bagi jenis emas perhiasan sebenarnya tidak diwajibkan zakat. Antara contoh emas perhiasan ialah seperti gelang emas, rantai dan kalung emas atau cincin emas. Ini kerana, nilai bagi emas perhiasan tidak dianggap berkembang.

Namun, jika emas perhiasan ini terlalu banyak sehingga berlebihan melebihi kadar biasa ia dipakai sebagai perhiasan, maka ia juga diwajibkan zakat. Walaupun Islam tidak mengharamkan pemakaian perhiasan emas oleh wanita, namun berhias secara berlebih-lebihan adalah satu perkara yang haram.

Bagi zakat emas perhiasan seperti ini, sebanyak 2.5% daripada nilainya akan dikeluarkan sebagai zakat setelah cukup tempoh setahun

2. Emas yang disimpan

Emas yang disimpan bermaksud emas yang hanya disimpan dan tidak digunakan walaupun sebagai perhiasan. Ini termasuklah emas perhiasan yang sudah lama tidak digunakan, atau emas perhiasan milik lelaki yang disimpan.

Jika jumlah nisab atau berat emas ini telah melebihi nisab yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri serta cukup setahun, maka wajib dikeluarkan zakat daripadanya sebanyak 2.5%.

3. Emas pelaburan yang patuh syarak

Bagi emas pelaburan, ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu emas fizikal dan juga akaun emas.

Emas fizikal: emas fizikal ialah jenis emas yang biasa digunakan untuk tujuan pelaburan dan mendapat keuntungan. Antara jenis emas ini ialah seperti bas emas, jongkong emas dan syiling emas.

Akaun emas: akaun emas juga dikenali sebagai passbook atau Akaun Simpanan Emas. Ia biasa ditawarkan oleh pihak bank bagi sesiapa yang ingin menyimpan unit gram emas untuk tujuan pelaburan. Namun, fizikal emas itu mestilah wujud dan menjadi milik pelabur.

Kedua-dua jenis emas ini juga diwajibkan zakat setelah cukup haul dan nisabnya iaitu sebanyak 2.5% daripada nilainya.

Bagi kadar nisab emas pula, ia bergantung kepada penetapan Majlis Agama Islam Negeri dan bergantung kepada harga semasa emas.

Zakat sebagai salah satu jalan ibadah

Kekayaan yang diterima seperti wang ringgit, emas dan perak merupakan salah satu daripada rezeki Allah kepada manusia. Namun, kekayaan yang diperoleh juga boleh dijadikan sebagai jalan ibadah melalui pemberian sedekah dan pengeluaran zakat.

Oleh itu, jika kita mempunyai simpanan atau perhiasan emas, keluarkanlah zakat sebagai cara untuk mensucikan harta kita.