Ini jenis zakat harta yang perlu kita tahu dan keluarkan

Zakat 08 Apr 2021 Contributor
Pilihan oleh Md Wa'iz
Ini jenis zakat harta yang perlu kita tahu dan keluarkan
Ini jenis zakat harta yang perlu kita tahu dan keluarkan © Ekahardiwito Subagio Purwito | Dreamstime.com

Mungkin ada yang tidak begitu memahami, bahawa setiap harta yang kita miliki perlulah dikeluarkan zakat untuknya. Untuk membantu anda mengetahui jenis harta yang perlu dizakatkan, ini senarai jenis zakat harta yang perlu anda keluarkan.

Sembilan jenis zakat yang perlu diketahui

Jenis zakat harta 1: Zakat pendapatan

Pendapatan bermaksud segala jenis bayaran, upah, imbuhan atau hasil disebabkan oleh sesuatu kerja yang anda lakukan. Ini termasuklah kerja tetap dan juga kerja yang tidak tetap.

Jenis zakat harta 2: Zakat perniagaan

Zakat perniagaan dikenakan sekiranya anda mempunyai sebarang perniagaan yang memberikan hasil. Antara jenis-jenis perniagaan ialah seperti perkhidmatan, pertanian, perikanan, pembuatan dan sebagainya.

Jenis zakat harta 3: Zakat wang simpanan

Wang simpanan yang kita simpan juga perlu dikeluarkan zakat setelah cukup syarat-syaratnya. Ini termasuklah wang kertas mahupun wang syiling, kedua-duanya perlu dizakatkan setelah cukup nisabnya.

Jenis zakat harta 4: Zakat pelaburan

Bagi mana-mana individu yang mempunyai saham atau pelaburan tertentu, maka ia wajib dikeluarkan zakat setelah cukup tempoh setahun pemilikan. Namun, ia mestilah jenis saham atau pelaburan yang halal sahaja.

Jenis zakat 5: Zakat KWSP

KWSP adalah wang simpanan hasil daripada pekerjaan seseorang yang disimpan di dalam akaun simpanan pekerja. Zakat KWSP hanya dilaksanakan apabila wang tersebut dikeluarkan daripada akaun pekerja.

Jika wang KWSP tersebut dikeluarkan untuk meneruskan kehidupan, maka tidak diwajibkan zakat ke atasnya. Namun, jika ia bukan digunakan untuk tujuan tersebut, maka wajib ditunaikan zakat bagi wang tersebut.

Jenis zakat 6: Zakat emas dan juga perak

Seperti yang kita ketahui, emas dan perak yang kita miliki juga perlulah dizakatkan apabila cukup haul dan nisabnya. Begitu juga dengan emas dan perak perhiasan, jika ia dipakai sehingga berlebihan daripada kadar yang normal, maka ia perlu dizakatkan.

Jenis zakat 7: Zakat takaful

Produk takaful juga adalah salah satu bentuk simpanan atau pelaburan. Zakat takaful hanya dikenakan apabila terdapat nilai simpanan atau pelaburan yang boleh dikeluarkan.

Selain itu, zakat takaful juga dikenakan apabila terdapat lebihan tunai selepas polisi takaful matang. Pampasan takaful serta pulangan tunai daripada dana tabarru’ juga perlu dizakatkan.

Jenis zakat 8: Zakat pertanian

Zakat pertanian pula dikira dengan cara yang berbeza mengikut kaedah siraman, pengairan dan penghasilannya. Kadarnya bergantung sama ada pertanian yang dijalankan itu menggunakan kaedah semula jadi atau menggunakan tenaga manusia, haiwan atau teknologi.

Jenis zakat 9: Zakat ternakan

Zakat ternakan hanya dikenakan bagi binatang yang dijadikan ternakan sahaja seperti lembu, kambing, biri-biri, kerbau dan unta. Binatang ternakan adalah binatang yang diternak untuk mendapatkan hasil daripadanya seperti daging dan susunya. Binatang yang digunakan untuk melakukan kerja tidak dikenakan zakat.

Zakat bukti kesyukuran manusia kepada Allah Taala

Menunaikan zakat adalah satu bentuk kesyukuran bagi orang Islam atas nikmat rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada kita. Zakat hanya dikenakan jika kita mempunyai lebihan harta.

Bagi individu yang miskin atau fakir, mereka tidak dikenakan zakat malah akan diberikan zakat kepada mereka. Begitulah cara Islam menyeimbangkan ekonomi umat agar yang kaya tidak terus menjadi kaya, dan yang miskin tidak terus menjadi miskin.

Zakat juga adalah satu ibadah, jadi setiap harta yang dikeluarkan sebagai zakat akan diberikan balasan yang baik oleh Allah Taala.