Ini keunikan Kazakhstan, juga negara ke-9 terbesar di dunia

Asia 08 Jan 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Ini keunikan Kazakhstan, juga negara ke-9 terbesar di dunia
Ini keunikan Kazakhstan, juga negara ke-9 terbesar di dunia © Udmurd | Dreamstime.com

Negara Kazakhstan merupakan negara yang terbesar daripada segi keluasan di kawasan Asia Tengah. Namun, jumlah penduduknya adalah antara yang paling rendah di dunia.

Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai negara Islam yang satu ini.

Nama ibu kota bertukar beberapa kali

Tahukah anda, ibu kota negara Kazakhstan ini pernah bertukar namanya sebanyak tiga kali. Nama asal ibu kotanya ialah Tselinograd. Ia kemudiannya ditukar kepada Aqmola dan sekali lagi kepada nama Astana.

Terbaharu, namanya ditukarkan sekali lagi kepada Nur-Sultan pada bulan Mac 2019. Pertukaran nama yang terbaharu ini adalah sempena nama bekas presiden pertama mereka, Nursultan Nazarbayev, yang meletakkan jawatan pada tahun 2019.

Namun, bandar terbesar di Kazakhstan bukanlah Nur-Sultan, tetapi bandar Almaty.

Negara Kazakhstan ke-9 terbesar di dunia

Mungkin ramai yang masih belum tahu bahawa Kazakhstan juga adalah antara negara yang terbesar di dunia daripada segi keluasannya. Ia adalah negara ke-9 terbesar di dunia.

Bukan itu sahaja, ia juga adalah negara daratan terbesar (land-locked) yang tidak mempunyai sebarang akses kepada mana-mana laut di dunia ini. Dengan kata lain, negara ini tidak mempunyai sebarang pinggiran pantai mahupun laut, jadi pelabuhan juga tidak wujud.

Namun, Kazakhstan tetap mempunyai tentera laut mereka sendiri yang ditugaskan di Laut Caspian, yang sebenarnya adalah sebuah tasik.

Antara negara paling banyak etnik

Boleh dikatakan bahawa Kazakhstan merupakan antara negara yang mempunyai kepelbagai etnik penduduk tertinggi di dunia. Dikatakan terdapat lebih daripada 120 etnik atau bangsa yang mendiami negara ini.

Ada sesetengahnya yang bermigrasi daripada negara lain dan kemudiannya menetap di Kazakhstan. Anda juga perlu tahu bahawa majoriti penduduk Kazakhstan adalah beragama Islam.

Bancian terakhir yang dilakukan pada tahun 2010 menunjukkan bahawa 70.4% daripada keseluruhan penduduknya adalah beragama Islam.

Orang Kazakh pertama kali menjinakkan kuda

Orang Kazakh yang menetap di Kazakhstan adalah kelompok manusia pertama yang menjinakkan kuda.

Nenek moyang orang Kazakh telah menjinakkan kuda pada awalnya sebagai alat pengangkutan mereka. Kemudiannya, kuda digunakan sebagai kenderaan untuk tujuan peperangan.

Bukan itu sahaja, orang-orang Kazakh juga amat menggemari daging kuda. Pada Sukan Olimpik 2012 di London, pasukan Kazakhstan mengepos daging kuda mereka sendiri dari Kazakhstan ke London disebabkan kegemaran mereka memakan daging kuda.

 Pegangan agama yang sama, budaya jauh berbeza

Walaupun kita mempunyai pegangan agama yang sama dengan penduduk Kazakhstan, namun budaya mereka dan kita amat jauh berbeza. Kesemuanya dipengaruhi oleh faktor geografi dan demografi masing-masing.

Namun, perbezaan inilah yang menjadikan setiap satu daripada kita adalah unik. Perbezaan ini yang menjadikan kita untuk lebih berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Allah Taala sendiri menciptakan manusia dengan pelbagai kaum dengan tujuan untuk berkenal-kenalan. Apa yang lebih penting, kita semua tetap berpegang kepada satu talian persaudaraan iaitu kalimah syahadah.