Ini khasiat kunyit yang salah satunya hilangkan sakit sendi

Makanan Sihat 14 Feb 2021 Md Wa'iz
Pilihan
Ini khasiat kunyit yang salah satunya hilangkan sakit sendi
Ini khasiat kunyit yang salah satunya hilangkan sakit sendi © Natthakan Jommanee | Dreamstime.com

Kunyit merupakan bahan yang sering digunakan dalam masakan orang-orang Asia. ia seolah-olah bahan wajib ketika memasak. Bahkan ketika ingin menggoreng ikan sahaja, kita pasti meletakkan kunyit.

Namun, adakah terdapat sebarang khasiat kunyit?

Khasiat kunyit yang mungkin tidak pernah diketahui

Tidak dinafikan, kunyit sememangnya mempunyai manfaat atau khasiatnya yang tersendiri. Tidak kira sama ada ia adalah kunyit segar atau kunyit serbuk, kedua-duanya tetap memberikan manfaat kesihatan.

Apakah manfaat dan khasiat kunyit?

Kunyit punyai ciri perubatan

Dalam kunyit yang kita makan, terdapat satu sebatian yang disebut sebagai kurkumin (curcumin). Ia adalah sebatian aktif yang mempunyai kesan anti-keradangan.

Selain itu, kurkumin juga adalah antioksidan yang sangat kuat, yang baik untuk kesihatan tubuh anda. Namun, kandungan kurkumin dalam kunyit tidaklah begitu banyak dan kadangkala tidak diserap dengan baik ke dalam darah.

Untuk memastikan ia dapat diserap dengan baik, anda perlu memakan kunyit bersama dengan lada hitam. Lada hitam mempunyai bahan yang mampu meningkatkan penyerapan kurkumin dalam darah.

Khasiat kunyit kedua: tingkatkan kandungan aktioksidan dalam tubuh

Antioksidan adalah sejenis bahan yang menghalang pengoksidaan daripada berlaku. Apabila pengoksidaan kerap berlaku pada tubuh, maka tubuh anda akan cepat mengalami penuaan dan mendapat penyakit.

Kunyit didapati kaya dengan kandungan antioksida yang dapat mengelakkan pengoksidaan berlaku dengan cepat. Dengan itu, kulit anda akan lebih lambat mengalami penuaan kerana terlindung daripada radikal bebas.

Kunyit juga kurangkan risiko mendapat penyakit jantung

Salah satu daripada khasiat kunyit yang lain ialah, ia dapat mengurangkan risiko seseorang mendapat penyakit jantung. Beberapa kajian telah mendapati kesan positif pengambilan kunyit terhadap jantung.

Satu kajian menyatakan, kunyit mampu memperbaiki fungsi endotil pada jantung dan kesannya itu didapati menyamai kesan yang akan didapati jika anda bersenam.

Endotil yang kurang berfungsi dengan baik boleh menyebabkan penyakit jantung, masalah kawalan tekanan darah, pembekuan darah dan lain-lain lagi.

Kunyit bantu kurangkan sakit pada sendi

Sakit sendi atau artritis boleh berlaku kepada semua peringkat umur, namun warga emas lebih berisiko untuk mengalaminya. Kajian menujukkan bahawa, pengambilan suplemen kurkumin, ia boleh membantu mengurangkan keradangan yang menyebabkan sakit pada sendi.

Malah kajian juga menyatakan, kurkumin dalam kunyit bertindak lebih baik dan berkesan daripada ubat anti-radang. Sudah banyak kajian yang membuktikan keberkesanan kurkumin dalam merawat simptom artritis ini.

Walaupun ia kecil dan kerap digunakan untuk menggoreng ikan, jangan sesekali memandang rendah khasiat kunyit. Namun, jangan sesekali anda memakan kunyit tanpa had kerana ia akan memberikan kesan sampingan lain pada tubuh.

Seeloknya, ambil kunyit dengan cara yang sederhana sahaja tanpa perlu melampau-lampau.