Ini lapan jenis rezeki yang disebut dalam Al-Quran!

Al-Quran 20 Apr 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Terkini oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Ini lapan jenis rezeki yang disebut dalam Al-Quran?
Ini lapan jenis rezeki yang disebut dalam Al-Quran? © Mohamed Osama | Dreamstime.com

Lapan Jenis Rezeki Yang Disebut Dalam Al-Quran – Rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT sangat luas dan tidak terhitung nikmatnya. Ia meliputi segala apa yang bermanfaat yang tidak hanya dapat diukur dengan kedangkalan dan kecetekan pemikiran manusia, bahkan ia juga berada di luar pengetahuan makhluknya.

Artikel ini menghuraikan tentang jenis-jenis rezeki yang ternyata ada disebut dalam Kalamullah. Rezeki tidak hanya terhad kepada mempunyai kekayaan harta benda dan kejayaan sahaja.

Contoh-contoh rezeki yang perlu disyukuri

Terlalu banyak kita terlepas pandang untuk mensyukuri nikmat-nikmat rezeki yang Allah Taala kurniakan. Rezeki merupakan hadiah, kurniaan atau pemberian yang bermanfaat dan mempunyai hikmah yang tersendiri dari Al-Khaliq kepada makhluk-Nya untuk kelangsungan hidup.

Contoh rezeki yang patut kita syukuri ialah nikmat iman dan keteguhan hati. Contoh yang lainnya termasuk ketenangan jiwa, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang baik, kurniaan anak-anak yang soleh, sihat dan sempurna.

Kecantikan dan ketampanan rupa paras, jodoh yang baik, dikelilingi orang-orang yang baik lagi soleh dan sebagainya juga adalah contoh rezeki. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Allahlah yang menciptakan kamu, kemudian memberimu rezeki lalu mematikanmu, kemudian menghidupkanmu (kembali). Adakah diantara yang kamu sekutukan dengan Allah itu dapat berbuat demikian? Maha Suci Dia dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutuan.”

(Surah Ar-Rum, ayat 40)

Lapan jenis rezeki yang disebut dalam Al-Quran

Perhatikan firman-firman Allah SWT tentang rezeki untuk dijadikan renungan bersama.

1. Rezeki yang telah dijamin

“Tidak ada satu makhluk melata pun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin Allah rezekinya.”

(Surah Hud, ayat 6)

2. Rezeki kerana usaha

“Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang dikerjakan.”

(Surah An-Najm, ayat 39)

3. Rezeki kerana bersyukur

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu.”

(Surah Ibrahim, ayat 7)

4. Rezeki tidak terduga

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

(Surah At-Thalaq, ayat 2-3)

5. Rezeki kerana istighfar

“Beristighfarlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta.”

(Surah Nuh, ayat 10-11)

6. Rezeki kerana bernikah

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”

(Surah An-Nur, ayat 32)

7. Rezeki kerana anak

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu).”

(Surah Al-Israa’, ayat 31)

8. Rezeki kerana sedekah

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (infak dan sedekah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 245)

Secara konklusi, kita sebagai hamba hendaklah sentiasa bersyukur dengan segala rezeki yang Allah SWT kurniakan supaya hidup lebih diberkati oleh Allah dan menjadi asbab untuk kita lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Ia sekaligus membesarkan dan mengagungkan Allah yang Maha Memberi Rezeki, Ar-Razzaq.