Ini lima masjid tertua dan masih berfungsi di Benua Afrika

Dunia Md Wa'iz 21-Nov-2020
egypt.eggate.com
Masjid Ibnu Tulun, Kaherah, Mesir © egypt.eggate.com

Artikel ini akan menyingkap beberapa buah masjid yang diiktiraf sebagai masjid yang tertua di benua Afrika. Jangan anda tidak tahu, kebanyakan masjid yang dibina di Afrika ini jauh lebih tua daripada kebanyakan masjid di Malaysia bahkan juga di Asia.

berikut adalah lima masjid tertua di Afrika yang pernah direkodkan pembinaannya.

Ini 5 masjid tertua di benua Afrika

1. Masjid Al-Sahaba, Eritrea

Pada ketika Nabi Muhammad SAW dilantik sebagai nabi, ramai penduduk Mekah menolak kenabian baginda. Malah pengikut Rasulullah terpaksa mendapatkan perlindungan daripada Raja Najashi di kawasan yang kini dikenali sebagai Eritrea.

Saat sahabat-sahabat nabi ini tiba di pesisir pantai Laut Merah, mereka disambut baik oleh penduduk tempatan dan juga Raja Najashi sendiri. Mereka membina sebuah masjid kecil untuk mereka bersolat dan kemudiannya dinamakan sebagai Masjid Al-Sahaba yang bermaksud Masjid Sahabat.

Pembinaan masjid ini telah menjadikannya sebagai masjid pertama yang dibina di benua Afrika dan masih digunakan sehingga ke hari ini. Sejarah mencatatkan anggaran masa bahawa ia telah dibina sekitar tahun 610 hingga 620 Masihi.

2. Masjid Amru Al-As, Fustat, Mesir

Masjid ini dibina sekitar tahun 641 hingga 642 Masihi dan dikatakan sebagai masjid pertama yang dibina di bumi Mesir, selain salah satu masjid tertua di Afrika.

Lokasi masjid ini pada asalnya adalah lokasi khemah jeneral tentera Islam iaitu Amru Al-As. Terdapat sebuah makam iaitu makam anaknya sendiri di salah satu sudut masjid ini.

Masjid ini pernah menjadi pusat keilmuan Islam selama hampir 600 tahun sebelum peranannya diambil alih oleh Masjid Al-Azhar yang terletak di Kaherah.

3. Masjid Ibnu Tulun, Kaherah, Mesir

Dari segi keluasan tanah, Masjid Ibnu Tulun ini diiktiraf sebagai masjid yang terbesar di seluruh Negara Mesir. Sebahagian besar daripada kawasan masjid ini adalah kawasan terbuka dan tidak berbumbung seolah-olah sebuah dataran luas.

Masjid ini dibina pada tahun 879 Masihi atas arahan Ahmad Ibnu Tulun, iaitu seorang gabenor Mesir yang berkhidmat di bawah pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyyah.

Masjid ini telah mengalami proses baik pulih selama beberapa kali dalam sejarah pembinaannya. Proses baik pulih terakhir yang telah dilakukan ialah pada tahun 2004 oleh kerajaan Mesir sendiri.

4. Masjid Al-Hakim, Kaherah, Mesir

Masjid Al-Hakim juga dikenali sebagai Masjid Al-Anwar. Ia dinamakan Al-Hakim sempena nama Al-Hakim bi-Amrillah, iaitu khalifah keenam daripada kerajaan Dinasti Fatimiyyah yang pernah memerintah Mesir.

Ia mula dibina pada tahun 928 Masihi oleh ayah Al-Hakim, dan kemudiannya disiapkan pembinaannya oleh Al-Hakim sendiri.

5. Masjid Al-Azhar, Kaherah, Mesir

Tahukah anda, Masjid Al-Azhar merupakan sebahagian daripada Universiti Al-Azhar yang sangat terkenal dalam dunia Islam.

Ia dikatakan sebagai masjid pertama yang dibina di Kaherah dan ia dibina atas arahan seorang pemerintah daripada Dinasti Fatimiyyah iaitu Al-Mu’izz li-Dinullah.

Masjid Al-Azhar telah dibina pada tahun 972 Masihi dan terus digunakan sehingga hari ini. Tujuan asal pembinaan masjid ini adalah sebagai masjid rasmi atau masjid utama bagi kota Kaherah.

Mesir bumi masjid-masjid tertua di Afrika

Kaherah adalah tempat letaknya empat daripada lima masjid tertua di Afrika. Adalah jelas bahawa bumi Mesir di Afrika Utara ini adalah satu tempat yang istimewa.

Hal ini bukanlah satu perkara yang pelik kerana Mesir pernah menjadi salah satu daripada pusat wilayah Islam yang diperintah oleh pelbagai pemerintah sejak daripada zaman Khulafa’ Arrasyidin lagi.