Ini lima negara di mana status agama Islam tidak diiktiraf secara rasmi

Islam untuk Pemula 19 Mac 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Ini lima negara di mana status agama Islam tidak diiktiraf secara rasmi
Ini lima negara di mana status agama Islam tidak diiktiraf secara rasmi (foto: Biara Buddha di Paro, Bhutan) © Avikgenxt | Dreamstime.com

Walaupun Islam adalah agama kedua terbesar di dunia daripada segi jumlah penganutnya, ia masih lagi tidak diiktiraf di beberapa negara di dunia. Berikut adalah antara beberapa negara di dunia yang tidak mengiktiraf status agama Islam sebagai salah satu kepercayaan yang boleh diamalkan.

Status agama Islam di Bhutan

Di negara Bhutan, jumlah penganut agama Islam adalah amat sedikit. Berdasarkan bancian pada tahun 2005, jumlah penduduk Muslim di Bhutan hanyalah seramai 2,750 orang sahaja.

Jumlah ini mewakili sekitar 0.5% daripada keseluruhan penduduk Bhutan. Di Bhutan, agama Islam tidak diiktiraf secara rasmi di dalam perundangan negara tersebut.

Islam di Myanmar

Di Myanmar pula, jumlah penduduk negara tersebut yang beragama Islam hanyalah sekitar 2.3% daripada keseluruhan penduduk.

Menurut perundangan negara Myanmar, kesemua agama bebas untuk diamalkan di negara tersebut. Namun, agama Budda diberikan keutamaan di sana.

Penganut agama Islam pula menghadapi layanan kelas kedua atau diskriminasi sejak beberapa tahun yang lalu.

Status agama Islam di China

Perlembagaan negara China ada menyatakan berkenaan ‘aktviti keagamaan yang normal’. Ia bermaksud sebarang amalan keagamaan yang berlaku dalam organisasi keagamaan yang dibenarkan oleh kerajaan di tempat ibadat yang telah berdaftar.

Namun, sejak akhir-akhir ini, kita kerap mendengar mengenai diskriminasi yang diterima oleh majoriti penduduk Muslim di Wilayah Xinjiang, China. Dikatakan bahawa penduduk di sana dilarang untuk menyimpang janggut selain dilarang untuk berpuasa pada bulan Ramadan.

Selain iu, orang Islam yang beribadah secara bersendirian akan ditahan kerana melakukan apa yang disebut sebagai ‘aktiviti keagamaan yang haram’.

Islam di Korea Utara

Di Korea Utara, sebarang agama atau kepercayaan tidak diiktiraf sama sekali oleh pihak kerajaan. Ini termasuklah dengan agama Islam.

Berdasarkan kajian oleh The Pew Research Center, dianggarkan terdapat sekitar 3,000 orang Muslim yang menetap di Korea Selatan pada tahun 2010. Namun, tiada satu pun bangunan masjid yang aktif wujud di Korea Utara.

Hanya terdapat sebuah masjid sahaja yang aktif iaitu Masjid Ar-Rahman yang didirikan di Kedutaan Iran, dan diuruskan oleh golongan Syiah. Masjid Ar-Rahman ini adalah satu-satunya masjid yang terdapat di Korea Utara.

Islam di Slovakia

Slovakia adalah satu-satunya negara Eropah yang tidak mempunyai bangunan masjid di negara tersebut. Namun, terdapat sebuah pusat Islam iaitu Islamic Centre of Cordoba yang menjadi satu-satunya tempat beribadat bagi umat Islam di sana.

Walaupun pusat Islam ini menjalankan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat, ia tidak mendapat status atau premit sebagai masjid rasmi daripada pihak kerajaan Slovakia.

Pada 30 November 2016, Slovakia telah meluluskan undang-undang yang menghalang agama Islam daripada mendapat status rasmi sebagai sebuah agama di negara tersebut.

Bersyukur dengan keadaan di Malaysia

Lima negara ini adalah antara negara dunia di mana agama Islam tidak diiktiraf secara rasmi. Apabila status agama Islam tidak diiktiraf, maka amat sukar bagi penduduk Muslim di sana untuk menjalani kehidupan mereka sebagai seorang Muslim dengan sempurna.

Sebagai rakyat Malaysia, kita bersyukur kerana dapat menjalani ajaran Islam dengan sempurna tanpa sekatan dan gangguan. Malah, agama dan kepercayaan lain juga bebas untuk diamalkan di tanah air yang tercinta iaitu Malaysia.