Ini lima orang Muslim terkaya di dunia!

Dunia Md Wa'iz 14-Nov-2020
Mohamed-Bin-Issa-Al-Jaber-1
Mohamed bin Issa al-Jaber © gulfbusiness.com

Kita mungkin biasa mendengar figura-figura terkenal yang diiktiraf sebagai individu terkaya di dunia. Bagaimana pula dengan orang Islam atau Muslim terkaya di dunia? Adakah kita pernah mengetahui mengenai mereka?

Artikel ini menyenaraikan secara ringkas tentang  lima individu Muslim yang memiliki aset sehingga berbilion dolar di seluruh dunia.

Siapa lima individu Muslim ini?

Putera al-Waleed Bin Talal al-Saud

Putera Al-Waleed Bin Talal Al-Saud bukan hanya memiliki gelaran sebagai Muslim terkaya di dunia, tetapi juga salah seorang individu terkaya di dunia. Beliau merupakan putera dan cucu kepada Raja Arab Saudi yang pertama, Raja Abdul Aziz.

Al-Waleed merupakan pengasas dan juga CEO kepada Kingdom Holding Group. Beliau merupakan pelabur yang melabur dalam pelbagai sektor seperti perbankan, hotel, media, minyak dan teknologi. Kekayaan yang dimilikinya dianggarkan sekitar 26.1 bilion USD.

Azim Premji

Individu warganegara India ini, Azim Premji merupakan seorang ahli perniagaan dan mempunyai perusahaan teknologi maklumat, Wipro Limited. Pada asalnya, syarikat yang dipimpinnya itu bernama Western Indian Vegetable Products yang menghasilkan produk minyak terhidrogenasi.

Selepas kematian bapanya, Azim mengambil alih syarikat tersebut dan terus mengubah haluan syarikatnya kepada industri teknologi maklumat. Kekayaannya dianggarkan sekitar 15.9 bilion USD.

Mohammed Hussein al-Amoudi

Mohammed Hussein al-Amoudi dilahirkan di Ethiopia tetapi bermastautin di Arab Saudi kerana bapanya berasal dari Arab Saudi. Pada awal kerjayanya, beliau menceburkan diri dalam perniagaan di sektor pembinaan dan hartanah. Kemudian, beliau menubuhkan Preem, syarikat petroleum dan biofuel dengan beberapa kilang penapisan minyak di Sweden, Maghribi dan juga Afrika Barat.

Syarikatnya, Saudi Star Agricultural Development telah mengusahakan ribuan ekar tanah untuk buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, kopi, teh, bunga dan sawah di luar Arab Saudi termasuk di Ethiopia. Kekayaannya dianggarkan sekitar 10.9 bilion USD.

Iskandar Makhmudov

Iskandar Makhmudov merupakan ahli perniagaan dari Rusia yang dilahirkan di Uzbekistan. Beliau terlibat dalam beberapa industri, antaranya industri pengangkutan dan perlombongan.

Beliau kini adalah pemilik kepada Uralskaya Gorno-Metallurgicheskaya Kompaniya (UGMK) Holding. Syarikatnya kini adalah pengeluar tembaga kedua terbesar di Rusia. Kekayaan yang beliau miliki adalah sekitar 9.1 bilion USD.

Mohamed Bin Issa al-Jaber

Individu kelima ini, Mohamed Bin Issa al-Jaber juga merupakan seorang ahli perniagaan yang berasal dari Arab Saudi. Beliau merupakan pengasas, pengerusi dan juga CEO kepada MBI International.

Kumpulan syarikat ini memiliki beberapa perniagaan antaranya JW Hotels and Resorts, Jadawel International Continent Oil dan juga AJWA Group. Syarikatnya menumpukan pelaburan dalam bidang hartanah dan juga perhotelan. Kekayaannya dianggarkan sekitar 8.2 bilion USD.

Berusahalah menjadi Muslim yang kaya

Kelima-lima individu yang disebutkan diatas merupakan ahli perniagaan yang cemerlang dalam bidang masing-masing. Sememangnya, perniagaan adalah salah satu cara yang boleh meningkatkan aset dan pegangan orang-orang Islam.

Antara sahabat nabi yang cukup kaya hasil daripada perniagaan ialah seperti Saidina Usman Bin Affan r.a dan Saidina Abdul Rahman Bin Auf r.a. Contohilah mereka semua kerana walaupun mereka kaya, mereka tetap merendah diri, berpegang kuat dengan ajaran agama serta rajin bersedekah.