Ini masjid kayu tertua di Malaysia dan Asia Tenggara – Masjid Kampung Laut

Masjid Md Wa'iz
Md Wa'iz
Masjid Kampung Laut di Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan
Masjid Kampung Laut di Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan © Ravindran John Smith | Dreamstime.com

Tahukah anda di manakah letaknya masjid tertua di Malaysia? Jika anda menjawab Masjid Tengkera di Melaka, maka jawapan anda kurang tepat. Ada sebuah masjid yang jauh lebih tua daripada itu iaitu Masjid Kampung Laut yang terletak di negeri Kelantan.

Ikuti sejarah menarik masjid ini.

Bilakah tarikh Masjid Kampung Laut ini dibina?

Masjid Kampung Laut pada asalnya dibina di Kampung Laut yang terletak dalam kawasan Jajahan Tumpat, Negeri Kelantan. Masjid ini dipercayai telah mula digunakan sejak abad ke-18 dan masih digunakan sehingga ke hari ini.

Mengikut cerita lisan, pada zaman dahulu terdapat para pendakwah Islam yang kerap belayar dari Thailand hinggalah ke Pulau Jawa untuk menyebarkan Islam. Sekitar tahun 1730, perahu yang dinaiki oleh sekumpulan pendakwah telah bocor.

Para pendakwah di dalam perahu tersebut bersumpah, sekiranya mereka diselamatkan ke pantai, mereka akan membina sebuah masjid sebagai memperingati peristiwa tersebut. Dengan izin Allah SWT, mereka telah diselamatkan dan mendarat di Kampung Laut, Tumpat. Masjid ini kini diiktiraf sebagai masjid kayu tertua di Malaysia dan juga Asia Tenggara.

Seni bina kayu masjid yang kaya nilai sejarah

Pada peringkat awal, masjid ini dibina dengan didirikan empat batang tiang dan bumbung yang diperbuat daripada atap rumbia. Namun, setelah masjid ini kerap dikunjungi oleh ramai jemaah, maka masjid ini ditambah baik dengan binaan lain seperti serambi dan juga menara masjid.

Sebanyak 20 batang tiang lagi digunakan dalam binaan tambahan masjid ini. Tiada sebarang paku digunakan dan pembinaan hanya menggunakan kaedah pasak kayu. Atap daun rumbia digantikan dengan atap genting yang lebih kuat dan tahan lama.

Masjid Kampung Laut dipindahkan ke Nilam Puri

Masjid ini dibina di tebing sungai, dan asas masjid ini boleh dikatakan agak lemak. Tambahan pula dengan kejadian Bah Merah yang berlaku pada tahun 1926, asas bagi struktur masjid ini menjadi semakin lemah.

Pada tahun 1966 berlaku banjir besar sekali lagi yang mengakibatkan sebahagian daripada masjid ini hanyut dan masjid menjadi senget. Persatuan Sejarah Malaysia pada ketika itu telah mencadangkan agar masjid ini dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat agar ia tidak runtuh.

Pada tahun 1968, Masjid Kampung Laut telah dipindahkan ke Nilam Puri, Kota Bharu. Usaha membina semula masjid ini telah mengambil masa sekitar 2 tahun lamanya.

Dengan izin Allah Taala, masjid ini berjaya bertahan daripada dua ancaman banjir besar yang berlaku pada tahun 1926 dan 1966. Kini, masjid ini telah berusia lebih daripada 300 tahun dan merupakan lambang keutuhan seni bina Melayu Islam yang unggul.

Masjid akan kembali semula ke Kampung Laut

Setelah berada di Nilam Puri selama lebih 40 tahun, kerajaan telah berhasrat untuk memindahkan semula masjid ini ke lokasi asalnya. Walaupun lokasi asal masjid ini telah tiada kerana runtuh ke dalam sungai, namun ia akan dipindahkan ke lokasi yang berdekatan dengan lokasi asalnya.

Pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bertanggungjawab dalam proses pemindahan dan pembinaan semula masjid ini di Kampung Laut.

Kos pemindahan ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak ECERDC dan akan memakan belanja sebanyak RM2 juta. Antara tujuan utama masjid ini dipindah semula adalah kerana ingin dimasukkan ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.