Ini perbezaan antara takaful dan insurans biasa

Musulman, droit, cour
Ini perbezaan antara takaful dan insurans biasa © Nataliia Mysik | Dreamstime.com

Ramai yang mungkin pernah tertanya-tanya, apakah perbezaan antara takaful dan insurans biasa atau konvensional? Secara umumnya, takaful dan insurans biasa mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk melindungi pencarumnya.

Namun, terdapat beberapa perbezaan utama yang membezakan kedua-dua produk kewangan ini. Ini akan dijelaskan secara ringkas melalui artikel ini.

Apakah maksud takaful?

Secara umumnya, takaful boleh dikatakan sebagai insurans Islam yang patuh syariah berbanding insurans biasa. Terdapat beberapa produk takaful yang semestinya patuh syariah seperti takaful nyawa, takaful perubatan dan takaful kenderaan.

Takaful mengamalkan konsep insurans Islam yang berasaskan kerjasama secara bersama antara semua pencarum. Kesemua dana dan juga risiko dikongsi secara bersama antara para pencarum dan juga syarikat takaful.

Bantuan kewangan akan diberikan kepada pencarum yang terkesan melalui dana terkumpul yang disebut sebagai Tabarru’ yang dikumpulkan daripada kesemua pencarum takaful.

Ini perbezaan antara takaful dan insurans biasa

Kita boleh melihat empat perbezaan utama yang membezakan antara konsep takaful dan juga insurans biasa seperti berikut:

Niat

Pencarum yang membuat keputusan untuk mencarum dalam skim takaful bersetuju untuk menyumbang secara bersama dalam dana takaful. Pencarum takaful juga bersetuju untuk berkongsi risiko bersama pencarum takaful yang lain. Dana takaful akan digunakan bagi membantu pencarum lain yang terkesan dengan beberapa risiko yang berlaku.

Bagi insurans biasa pula, polisi insurans akan dibeli sebagai satu jaminan keselamatan keatas diri sendiri, manakala syarikat insurans bertindak sebagai penanggung risiko bagi individu tersebut.

Undang-undang

Bagi produk takaful, ia mestilah berpandukan bukan sahaja kepada undang-undang kerajaan, tetapi juga undang-undang syariah Islam. Setiap syarikat takaful mempunyai panel penasihat syariah tersendiri bagi memantau kesemua operasi agar ia sentiasa mematuhi kehendak Islam.

Manakala untuk insurans biasa, ia hanya tertakluk kepada penguatkuasaan undang-undang kerajaan sahaja.

Pelaburan

Bagi takaful, setiap pelaburan yang dilakukan akan berpandukan beberapa prinsip utama. Takaful dilarang sama sekali untuk melabur dalam sebarang aktiviti yang mempunyai unsur perjudian (maisir), perkara yang tidak pasti (gharar), dan juga faedah (riba’).

Unit pelaburan insurans biasa pula akan dilaburkan mengikut kesesuaian profil mereka.

Pulangan

Sekiranya terdapat sebarang lebihan wang disebabkan kurangnya kadar tuntutan oleh pencarum, ia akan diberikan dan dikongsi dalam kalangan pencarum.

Keuntungan daripada pelaburan juga akan dibahagikan antara pencarum dan juga pemegang taruh.

Takaful sebagai pilihan

Takaful adalah satu produk insurans yang lebih terarah kepada konsep tolong-menolong dan perkongsian risiko antara sesama pencarum. Ia juga lebih diyakini kerana mematuhi konsep syariah Islam tanpa wujudnya penindasan antara kedua belah pihak.

Bagi orang Islam, takaful adalah pilihan yang sepatutnya menjadi keutamaan berbanding insurans biasa atau konvensional.